RM7 BILION PERKUKUH INFRASTRUKTUR AIR JOHOR DI BAWAH OP7

Cadangan pembangunan di bawah OP7 merangkumi pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, penambahan tangki simpanan, pengukuhan sistem agihan air serta usaha berterusan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air negeri. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri merancang memperkukuh infrastruktur bekalan air menerusi cadangan peruntukan pembangunan sekitar RM7 bilion bagi Rancangan Operasi OP7 (2027–2031) sebagai langkah strategik bagi memastikan sistem bekalan air di Johor sentiasa kekal stabil dan berdaya tahan.

 

Perancangan berskala besar itu dilihat penting ketika Johor sedang melalui fasa pembangunan pesat susulan pertumbuhan kawasan industri, pembangunan bandar baharu serta kemasukan pelaburan berteknologi tinggi yang meningkatkan permintaan dan keperluan terhadap bekalan air yang mampan.

 

Cadangan pembangunan di bawah OP7 merangkumi pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu, penambahan tangki simpanan, pengukuhan sistem agihan air serta usaha berterusan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan air negeri.

 

Ketika ini, sistem bekalan air Johor menyokong lebih 4.19 juta penduduk dengan 1.34 juta akaun pengguna melalui rangkaian 48 LRA, hampir 25,000 kilometer paip agihan serta ratusan stesen pam dan tangki simpanan di seluruh negeri ini.

 

Namun begitu, peningkatan permintaan air, perubahan iklim, pencemaran sumber air mentah serta kapasiti sistem yang semakin menghampiri had kini memerlukan suatu perancangan jangka panjang yang lebih menyeluruh bagi memastikan bekalan air Johor kekal terjamin.

 

Justeru, langkah memperkukuh infrastruktur bekalan air mampu menyokong asas pembangunan Johor sebagai sebuah negeri maju dan mampan dengan sistem bekalan air yang stabil, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan perbincangan bersama pengurusan industri air Johor bagi merangka langkah strategik untuk memperkukuh pengurusan sumber air pada masa hadapan.

 

#JohorSafeZone
#PengurusanAir
#BekalanAirMampan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor