TIKET PENERBANGAN, BAS PERCUMA BANTU MAHASISWA JOHOR PULANG KAMPUS SELEPAS RAYA

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor meluangkan masa bersama Mahasiswa Anak Johor pada Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Hotel Trove, Johor Bahru. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Mahasiswa anak Johor yang pulang beraya di kampung halaman kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Johor kini menyediakan inisiatif khas bagi membantu mereka kembali semula ke kampus menerusi program Meh Balik Kampus 2026.
Buat pertama kali tahun ini, Kerajaan Johor turut memperkenalkan bantuan tiket penerbangan khusus kepada mahasiswa anak Johor yang sedang menuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Sarawak bagi membantu mereka kembali ke kampus masing-masing selepas sambutan Aidilfitri.
Selain itu, inisiatif Pengangkutan Percuma Mahasiswa Johor Pulang ke Kampus yang dilaksanakan sebelum ini turut diteruskan menerusi penyediaan bas percuma kepada mahasiswa yang dilaksanakan dengan kerjasama Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ).
Inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2026 melalui peruntukan sebanyak RM1.4 juta di bawah Teras 3: Orang Muda Johor itu memberi kelegaan kepada golongan mahasiswa, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mahasiswa Johor yang berada jauh di perantauan.
Sementara itu, bagi Irfan Firdaus, Presiden GAJ, menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Johor atas pelbagai inisiatif yang disediakan secara khusus kepada mahasiswa anak Johor termasuk inisiatif program Meh Balik Kampus ini.
Jelasnya, inisiatif tersebut akan meringankan beban dan membantu kos pembelanjaan mahasiswa yang belajar di luar Negeri Johor, selain turut menyeru mahasiswa supaya memanfaatkan segala bantuan disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan sebaiknya serta berharap mereka juga akan kembali berbakti kepada Negeri Johor, sebaik sahaja tamat pengajian kelak.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Anak Johor 2026 di Hotel Trove, Johor Bahru, hari ini.
#JohorSafeZone
#MahasiswaJohor
#SejahteraBangsaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


