JOHOR SUSUN STRATEGI TARIK DIASPORA, PERKUKUH DAYA SAING EKONOMI

Kerajaan Negeri kini menumpukan usaha untuk menarik kepulangan anak Johor yang bekerja di luar negara seperti Singapura, United Kingdom, Jepun dan China dengan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Kerajaan Negeri terus mempergiat usaha bagi menarik lebih ramai diaspora Johor di luar negara untuk pulang dan menyumbang khidmat kepada pembangunan ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan berkualiti, ekosistem pendidikan berdaya saing serta insentif yang mampan.
Pendekatan ini akan dilaksanakan secara berstruktur melalui penganjuran Johor Dialogue 2026 dan sesi perbincangan bersama pakar tempatan serta antarabangsa bagi memperkukuh hala tuju dasar ekonomi negeri pada masa akan datang.
Selain itu, Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) sedang digerakkan dengan sokongan perunding berkaliber, selain ia direka khas untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri bukan sahaja inklusif, malah memberi impak maksimum kepada rakyat dan pelabur.
Justeru, Kerajaan Negeri kini menumpukan usaha untuk menarik kepulangan anak Johor yang bekerja di luar negara seperti Singapura, United Kingdom, Jepun dan China dengan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan dan berkemahiran tinggi.
Melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSZ), Kerajaan Negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan dengan ia akan disokong insentif cukai pendapatan khas 15 peratus kepada pekerja berkelayakan dalam 11 sektor terpilih bagi menjadikan Johor destinasi kerjaya jangka panjang yang kompetitif.
Kerajaan Negeri juga turut menekankan pengukuhan ekosistem pendidikan bagi menarik kepulangan keluarga diaspora melalui Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang menggabungkan silibus kebangsaan dengan pentaksiran standard berasaskan ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE).
Selain itu, ekosistem pelaburan dan peluang kerjaya berkualiti tinggi turut diperkasa menerusi penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) untuk memastikan bakat tempatan kekal sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, pameran Pelan Induk Blueprint JS-SEZ kini dibuka untuk maklum balas orang awam di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi berkenaan bersifat inklusif dan responsif, sebelum dilancarkan tidak lama lagi.
#JohorDialogue2026
#ZonEkonomiKhasJohorSingapura
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


