PEMASANGAN SISTEM PONTOON PULIHKAN OPERASI LRA SIMPANG RENGGAM SECARA BERPERINGKAT

Pelaksanaan sistem pontoon tersebut dijangka mampu menyalurkan tambahan kapasiti air mentah sehingga 20 juta liter sehari (MLD) ke Sungai Benut. | Foto FB Fazli Salleh

 

#Kluang – Kerajaan Negeri kini mempercepat pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap bagi menstabilkan paras air di Sungai Benut, sekali gus menyokong pemulihan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam yang terjejas susulan cuaca panas dan kering berpanjangan.

 

Pelaksanaan sistem pontoon tersebut dijangka mampu menyalurkan tambahan kapasiti air mentah sehingga 20 juta liter sehari (MLD) ke Sungai Benut bagi memastikan aliran minimum yang diperlukan untuk operasi loji dapat dicapai secara berperingkat, jelas YB Tuan Ir. Ts. Mohammad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor.

 

Setakat ini, satu pam telah beroperasi sepenuhnya manakala dua pam jenis *submersible* sedang dalam proses pemasangan. Selain itu, dua lagi pam berskala besar masih dalam proses penghantaran ke tapak bagi memperkukuh kapasiti sedia ada.

 

Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya tiga pam akan digerakkan dengan kombinasi operasi bersesuaian bagi mencapai sasaran minimum 20 MLD aliran air mentah ke sungai berkenaan.

 

Sehingga kini, sebanyak 15 MLD telah berjaya disalurkan, menunjukkan perkembangan positif dalam usaha menstabilkan sumber air mentah walaupun paras sungai masih berada pada tahap rendah akibat cuaca panas dan kering.

 

Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan bekalan air terus terjamin khususnya di kawasan Simpang Renggam dan sekitarnya, selain pemantauan akan diteruskan sehingga sasaran aliran minimum dapat dicapai sepenuhnya dan bekalan air kepada pengguna kembali stabil.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menggerakkan operasi pembenihan awan bermula hari ini sehingga 15 Februari bagi meningkatkan peluang hujan dan seterusnya menambah kapasiti takungan air di lokasi terjejas.

 

#JohorSafeZone
#BekalanAir
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor