JOHOR TERIMA RM9.658 JUTA UNTUK PERKUKUH KELESTARIAN ALAM 2026

Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk mempertingkat pengurusan habitat hidupan liar termasuk menangani konflik manusia-gajah melalui pengaktifan pasukan khas dan penyediaan bantuan kerugian bagi memastikan keselamatan rakyat. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menerima peruntukan RM9.658 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk memperkukuh agenda kelestarian negeri sepanjang tahun ini.
Peruntukan berkenaan akan digunakan untuk mempertingkat pengurusan habitat hidupan liar termasuk menangani konflik manusia-gajah melalui pengaktifan pasukan khas dan penyediaan bantuan kerugian bagi memastikan keselamatan rakyat.
Usaha pemuliharaan spesies dan pengukuhan kawasan perlindungan hutan juga menjadi fokus utama, disokong dengan rondaan biodiversiti serta pemerkasaan renjer komuniti di lapangan untuk membanteras pencerobohan dan aktiviti haram.
Selain itu, dalam aspek kualiti alam sekitar, penguatkuasaan terhadap pencemaran sungai dan aktiviti industri telah diperkasa secara bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sekali gus berjaya mengurangkan jumlah sungai tercemar daripada sembilan kepada tujuh sungai.
Kerjasama ini turut memperkukuhkan pelaksanaan Johor Green Deal sebagai kerangka dasar utama yang memandu peralihan negeri ke arah ekonomi hijau, rendah karbon dan berdaya tahan selari dengan agenda pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Keseluruhan usaha menekankan sinergi erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan Bangsa Johor terus dipacu sambil mengekalkan kelestarian alam dan pembangunan ekonomi hijau secara berfasa serta berimpak tinggi.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#JohorBersih
#JohorGreenDeal
#JohorLestari
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


