KERAJAAN JOHOR PERKASA BAKAT TEMPATAN, PERKUKUH KEPERLUAN INDUSTRI

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan DSFC di Pejabat JTDC. | Foto Unit Strategik Modal Insan Johor

 

#IskandarPuteri – Usaha Kerajaan Johor untuk memperkasa bakat tempatan terus diperkukuh menerusi penyertaan seramai 15 peserta dalam Kursus Data Centre Foundation Certificate (DCFC) sebagai persediaan menghadapi keperluan industri masa hadapan.

 

Kursus anjuran Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilaksanakan selama dua hari sejak semalam itu diadakan bagi memberikan pendedahan awal kepada peserta tentang sektor pusat data yang semakin berkembang pesat, selain keperluan meningkatkan kemahiran teknikal berkaitan infrastruktur pusat data serta menyediakan laluan kerjaya dalam industri berteknologi tinggi tersebut.

 

Melalui pensijilan DCFC, peserta juga kini berpeluang meningkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja apabila sijil tersebut turut diiktiraf di peringkat industri, selain ia membuka akses kepada peluang pekerjaan dalam sektor pusat data, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta kejuruteraan yang menawarkan gaji premium.

 

Pelaksanaan kursus ini mencerminkan pelaburan yang masuk ke Johor bukan sekadar membawa pembangunan fizikal, tetapi turut membuka peluang masa depan kepada Orang Muda Johor melalui pekerjaan yang berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan, selari dengan agenda Maju Johor.

 

Inisiatif ini merupakan hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara JTDC dan ST Telemedia Global Data Centres yang dimeterai semasa majlis pecah tanah pembangunan pusat data syarikat berkenaan pada 24 Februari 2025.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan DSFC kepada 15 peserta di Pejabat JTDC, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#PusatData
#SijilKemahiran
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor