PERUNTUKAN RM125 JUTA UNTUK BANGSA JOHOR SEMPENA RAMADAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni penerima bantuan pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor di Dataran Persiaran Muafakat, Simpang Renggam. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Kluang — Kerajaan Johor meneruskan komitmen menjaga kebajikan rakyat sempena bulan Ramadan menerusi pengagihan Bantuan Kasih Johor kepada hampir 459,000 penerima di seluruh negeri melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM125 juta.

 

Inisiatif ini bakal memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pemandu teksi dan e-hailing, petani, nelayan, pelajar universiti, pesara pasukan keselamatan serta pekerja perkhidmatan sokongan yang lain.

 

Pelaksanaan inisiatif bantuan bersasar ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, menampung perbelanjaan sempena Ramadan serta persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

 

Sementara itu, Kerajaan Negeri sekali lagi menegaskan gangguan bekalan air di Benut, Pontian dan Simpang Renggam, Kluang sejak 7 Februari lalu berpunca daripada kemarau berpanjangan dan sama sekali bukan disebabkan oleh pembangunan pusat data seperti didakwa oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

 

Selain itu, penyebaran maklumat palsu berkaitan pemberian bantuan tunai RM500 kepada seluruh rakyat Johor juga disifatkan tidak berasas serta tidak selari dengan keupayaan kewangan negeri.

 

Justeru, Bangsa Johor disaran supaya sentiasa menyemak kesahihan dan kebenaran sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta perpecahan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor di Dataran Persiaran Muafakat, Simpang Renggam, hari ini.

 

Hadir sama, YB Puan Khairin-Nisa Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor dan YBhg Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor