KERAJAAN JOHOR PINDAHKAN MANGSA KEBAKARAN KAMPUNG ORANG ASLI KE KEDIAMAN SEMENTARA

YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor menyantuni mangsa terjejas kejadian kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria, Masai | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Sebanyak 40 keluarga yang terjejas akibat kejadian kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Masai, baru-baru ini akan dipindahkan ke lokasi penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana pada Isnin depan bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terus terpelihara.

 

Langkah penempatan semula ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam mengutamakan kesejahteraan mangsa yang kehilangan tempat tinggal susulan kejadian kebakaran yang telah memusnahkan 30 rumah di kampung berkenaan.

 

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi lawatan rasmi YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria, Masai bagi meninjau sendiri situasi keadaan semasa pengurusan mangsa di PPS berkenaan.

 

Pada sesi lawatan tersebut, beliau turut mendengar taklimat operasi pemadaman kebakaran serta tindakan lain yang telah digerakkan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan aspek pengurusan bencana berjalan dengan lancar dan teratur.

 

Seramai 143 mangsa kini masih berlindung di PPS berkenaan sejak 12 Februari lalu dan mereka juga akan diberi kediaman sementara terlebih dahulu sebelum cadangan penempatan semula untuk tempoh jangka masa panjang bakal dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

Hadir sama ialah YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB); YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif PKPJ dan YBhg. Tuan Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.

 

#JohorSafeZone
#KebakaranKampungTelukJawa
#PengurusanBencana
#SetiausahaKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor