KEJAYAAN JDT DI ASIA: TITIK MULA ATAU STANDARD BAHARU?

Kehadiran JDT ke pentas suku akhir ACLE 2025/2026 seolah-olah telah menamatkan legasi dominasi kelab-kelab terkemuka khususnya dari Korea Selatan yang selama ini dianggap sebagai antara kuasa sukan bola sepak Asia seperti Ulsan Hyundai, Gangwon FC dan FC Seoul. | Foto JOHOR Southern Tigers

 

 

 

Oleh: Muhammad Imran Mohd Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

 

 

1. Ketika Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah hingga ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/2026, persoalan yang timbul ialah sama ada pencapaian ini sekadar satu kejayaan bermusim atau sebenarnya telah menetapkan satu standard baharu buat bola sepak Johor dan Malaysia.

 

2. Laksana batang manau, seribu kali embat haram tak putus. Kejayaan yang dilakar oleh JDT ini juga menjadi satu piawaian serantau yang mungkin agak sukar untuk dicapai oleh mana-mana kelab bola sepak dari negara Asia Tenggara yang lain.

 

3. Dalam landskap bola sepak Asia yang semakin kompetitif, keupayaan JDT untuk berada dalam kelompok lapan terbaik benua ini memperlihatkan bahawa jurang antara kelab tempatan dan kuasa besar Asia semakin mengecil, namun sejauh mana pencapaian ini mampu dikekalkan dalam jangka panjang.

 

4. Buat pertama kali dalam kancah bola sepak elit Asia, JDT sendiri telah meletakkan diri mereka ke status baharu apabila muncul sebagai wakil ASEAN yang berjaya ke suku akhir saingan kejohanan bola sepak peringkat kelab yang paling berprestij di Asia itu.

 

5. Dan buat pertama kali juga, kehadiran JDT ke pentas suku akhir ACLE 2025/2026 seolah-olah telah menamatkan legasi dominasi kelab-kelab terkemuka khususnya dari Korea Selatan yang selama ini dianggap sebagai antara kuasa sukan bola sepak Asia seperti Ulsan Hyundai, Gangwon FC dan FC Seoul.

 

6. JDT juga telah membuktikan reputasinya yang tersendiri apabila dengan bersahaja ‘telah menidakkan’ keupayaan beberapa kelab bola sepak dari China yang sebelum ini ‘boros berbelanja sakan’ hingga ratusan juta dollar sebagaimana yang dibuktikan oleh skuad Harimau Selatan sejak beberapa tahun lalu di kancah saingan bola sepak Asia, sehinggakan kelab bola sepak dari negara ‘tembok besar’ itu menjadi kerdil di hadapan pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.

 

7. Lebih signifikan, kejayaan ini menyumbang sebanyak 21.500 mata kepada MA Ranking Malaysia bagi musim 2025/2026, satu angka yang bukan sahaja meningkatkan kedudukan negara, tetapi turut mencerminkan impak langsung prestasi signifikan JDT di pentas Asia.

 

8. Dengan Malaysia kini berada di tangga ke-11 Asia dan keenam di Asia Timur dengan kutipan 45.184 mata, serta berjaya mengekalkan slot ke Liga Juara-Juara AFC Elit musim 2027/2028, persoalan seterusnya ialah sama ada pencapaian ini mampu diperkukuh oleh ekosistem bola sepak negara secara keseluruhan atau terus bergantung kepada satu pasukan dominan.

 

9. Pada masa sama, dominasi JDT sebagai juara Liga Super Malaysia buat kali ke-12 menimbulkan persoalan lebih besar tentang hala tuju liga domestik dan bagaimana daya saing dapat diperkasakan tanpa menjejaskan standard tinggi yang telah dibina.

 

10. Dengan JDT kini bersedia membuat perhitungan menentang Kuching City FC dalam saingan Piala Malaysia, peluang untuk melengkapkan musim dengan satu lagi kejuaraan dilihat cerah, namun adakah ini akan menjadi norma baharu atau satu penanda aras yang sukar dicapai oleh pasukan lain.

 

11. Di sebalik kejayaan ini, pelaburan dalam infrastruktur sukan bertaraf dunia, penggunaan teknologi serta pendekatan pengurusan profesional menjadi asas utama, sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana model ini boleh diperluaskan ke seluruh negara.

 

12. Dalam konteks lebih luas, visi dan kepimpinan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah membentuk satu ekosistem bola sepak yang progresif, namun persoalannya adakah pendekatan ini mampu menjadi rujukan nasional dalam membangunkan sukan secara menyeluruh.

 

13. Kejayaan JDT turut meningkatkan visibiliti Johor di pentas antarabangsa, membuka ruang kepada pelaburan dan pelancongan sukan, tetapi sejauh mana peluang ini dapat dimanfaatkan untuk memberi impak ekonomi yang lebih besar kepada negeri dan negara.

 

14. Hakikatnya, perjalanan JDT musim ini bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi mencetuskan satu naratif lebih besar tentang bagaimana sukan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negeri dan pembentukan identiti Bangsa Johor.

 

15. Maka persoalannya kini, adakah kejayaan ini akan menjadi titik mula kepada era dominasi lebih luas di peringkat Asia atau telah pun menjadi standard baharu yang perlu dipertahankan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

 

16. Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas visi dan kepimpinan berterusan, dengan harapan agar aspirasi “Luaskan Kuasamu Johor” terus diterjemahkan dalam bentuk kejayaan yang konsisten dan berimpak tinggi. Terima kasih kerana membawa kami terbang tinggi.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor