PEMBANGUNAN INKLUSIF JOHOR PERKUKUH KESEJAHTERAAN KOMUNITI ORANG ASLI

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, mengadakan sesi libat urus bersama Batin serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA) Negeri Johor, baru-baru ini. | Foto FB Zahari Sarip

 

#IskandarPuteri – Agenda pembangunan inklusif yang digerakkan oleh Kerajaan Johor tidak akan sesekali meminggirkan komuniti Orang Asli, sebaliknya ia kekal menjadi antara keutamaan dalam pelaksanaan dasar serta inisiatif pembangunan, selaras dengan agenda Maju Johor yang menekankan kesejahteraan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat di negeri ini.

 

Kerajaan Negeri menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli juga merupakan komponen penting dalam landskap pembangunan Johor, khususnya dalam memperkukuh pembangunan luar bandar yang lebih seimbang dan inklusif tanpa mengabaikan mana-mana kelompok.

 

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif yang merangkumi pembangunan infrastruktur asas, pemerkasaan modal insan, peningkatan sosioekonomi serta pengukuhan kapasiti kepimpinan komuniti bagi memastikan mereka mampu bergerak seiring dengan arus pembangunan semasa.

 

Kerajaan Johor juga kekal komited untuk memelihara keunikan identiti, adat dan budaya komuniti Orang Asli sebagai khazanah berharga negeri yang perlu dipertahankan, di samping mengiktiraf peranan Tok Batin selaku ketua masyarakat sebagai penggerak utama serta jambatan penting yang menghubungkan antara dasar kerajaan dengan keperluan rakyat.

 

Untuk rekod, Kerajaan Negeri mengumumkan kenaikan elaun Ketua Kampung dan Batin Orang Asli sebanyak RM300 sebulan berkuat kuasa Januari 2026, sekali gus menjadikan elaun bulanan mereka meningkat kepada RM1,500 berbanding RM1,200 sebelum ini. Ia akan memanfaatkan 667 Ketua Kampung dan 46 Batin dengan tambahan peruntukan RM2.6 juta di bawah Belanjawan Johor 2026.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, mengadakan sesi libat urus bersama Batin serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPPKOA) Negeri Johor, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor