BANTUAN BILIK GURU PASTIKAN KESELESAAN UNTUK WARGA PENDIDIK

YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bilik Guru kepada 22 sekolah berjumlah RM110,000 di Dewan Bestari FELDA Adela, Pengerang. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Keselesaan warga pendidik terus menjadi keutamaan apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5.975 juta bagi pelaksanaan Bantuan Khas Bilik Guru yang melibatkan 1,195 sekolah di seluruh Johor untuk tahun ini.

 

Bantuan yang akan mewujudkan persekitaran kondusif itu turut disalurkan meliputi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang mampu memberi manfaat kepada lebih 49,000 guru.

 

Setiap bilik guru ini akan menerima bantuan sebanyak RM5,000 secara berfasa di setiap kawasan Dewan Negeri Johor (DUN) bagi penambahbaikan serta penyediaan kemudahan seperti penghawa dingin, kerusi, meja, sofa dan lain-lain keperluan yang berkaitan.

 

Inisiatif ini merupakan penghargaan Kerajaan Negeri terhadap komitmen dan dedikasi warga pendidik dalam membentuk generasi masa hadapan, di samping meningkatkan motivasi serta kesejahteraan mereka dalam menjalankan tugas harian.

 

Bantuan yang konsisten dilaksanakan sejak tahun 2022 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dalam meletakkan sektor pendidikan sebagai keutamaan serta memastikan hal ehwal kebajikan guru sentiasa diberi perhatian.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir ke Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bilik Guru kepada 22 sekolah dalam kawasan DUN Tanjung Surat berjumlah RM110,000 di Dewan Bestari FELDA Adela, Pengerang, semalam.

 

#JohorSafeZone
#BantuanBilikGuru
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor