MISI SHANGHAI BUKA POTENSI PELABURAN RM10 BILION KE JOHOR

YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab soalan dibangkitkan YB Tuan Chen Kah Eng (Stulang) pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Misi delegasi Kerajaan Johor ke Shanghai, China baru-baru ini telah membuka potensi pelaburan awal dianggarkan sekitar RM10 bilion, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur antarabangsa terhadap pelaksanaan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi Kerajaan Negeri telah mengadakan sesi libat urus strategik bersama lebih 150 pelabur global berpotensi tinggi dengan 36 syarikat sudah menyatakan komitmen awal serta minat yang kukuh untuk melabur di Johor.

 

Potensi pelaburan itu tertumpu kepada sektor strategik termasuk elektrik dan elektronik (E&E), teknologi bateri, aeroangkasa, automotif serta pembuatan berteknologi tinggi yang mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab industri masa depan serantau.

 

Kerajaan Negeri juga turut menjalinkan kerjasama bersama institusi kewangan utama termasuk Maybank, AmBank, UOB, OCBC, China Construction Bank dan ICBC bagi memperluaskan capaian kepada rangkaian pelabur global khususnya dari China dan rantau Asia yang lain.

 

Selain itu, delegasi Kerajaan Johor juga mengadakan perbincangan strategik bersama beberapa pemain industri utama antaranya SICC, Longda Superalloy dan GSP Automotive terutama dalam usaha untuk melibatkan rangkaian pembekal mereka dalam usaha memperkukuh pembangunan ekosistem industri di Johor.

 

Momentum positif itu selari dengan pencapaian Johor yang sebelum ini berjaya merekodkan pelaburan bernilai RM110 bilion pada tahun 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pembangunan ekonomi negeri dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada Bangsa Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menjawab soalan dibangkitkan YB Tuan Chen Kah Eng (Stulang) pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor