JOHOR SALUR LEBIH RM10 JUTA PERKUKUH KELANGSUNGAN USAHAWAN JOHOR

Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan intervensi pasca bantuan diberi perhatian dalam membantu usahawan menghadapi cabaran seperti peningkatan kos operasi dan perubahan permintaan pasaran, termasuk penglibatan Jabatan Pertanian Negeri Johor bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pertanian. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh ekosistem keusahawanan di negeri ini apabila lebih RM10.5 juta bantuan telah disalurkan kepada 1,836 usahawan menerusi Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) sejak tahun 2022.

 

Inisiatif berimpak tinggi ini merangkumi pelbagai bentuk sokongan termasuk penyediaan mesin dan peralatan, latihan peningkatan kemahiran serta akses kepada pasaran bagi memastikan usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi semasa.

 

Sebanyak 1,813 usahawan atau 98.75 peratus masih aktif menjalankan perniagaan, manakala hanya sebahagian kecil memerlukan intervensi susulan bagi memastikan kelangsungan operasi mereka terus terjamin.

 

Kerajaan Negeri juga akan terus memastikan intervensi pasca bantuan diberi perhatian dalam membantu usahawan menghadapi cabaran seperti peningkatan kos operasi dan perubahan permintaan pasaran, termasuk penglibatan Jabatan Pertanian Negeri Johor bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pertanian.

 

Usaha ini mencerminkan pendekatan holistik Kerajaan Negeri yang tidak hanya menumpukan pemberian bantuan kewangan semata-mata, tetapi turut melibatkan pemantauan prestasi, bimbingan berterusan serta khidmat nasihat teknikal kepada usahawan.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menjawab soalan mengenai peratusan PKS yang kekal aktif pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BantuanPUJB
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor