JOHOR TERUS PERKUKUH SEKTOR KESIHATAN WALAUPUN DI BAWAH BIDANG KUASA PERSEKUTUAN

Sejak tahun 2022 hingga 2026, Kerajaan Johor telah memperuntukkan lebih RM42.13 juta bagi menyokong sektor kesihatan meliputi kerja menaik taraf fasiliti, penambahan peralatan perubatan serta pelbagai bentuk bantuan kepada hospital, pejabat kesihatan daerah dan klinik di seluruh negeri ini. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Meskipun sektor kesihatan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, namun ia tidak menjadi penghalang kepada Kerajaan Johor untuk terus komited memperkukuh perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Komitmen berterusan Kerajaan Johor dapat dibuktikan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan yang sedang serta telah dilaksanakan demi memastikan rakyat menerima akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, efisien dan terbaik.
Sejak tahun 2022 hingga 2026, Kerajaan Johor telah memperuntukkan lebih RM42.13 juta bagi menyokong sektor kesihatan meliputi kerja menaik taraf fasiliti, penambahan peralatan perubatan serta pelbagai bentuk bantuan kepada hospital, pejabat kesihatan daerah dan klinik di seluruh negeri ini.
Antara bantuan yang telah disalurkan termasuk penyediaan peralatan perubatan seperti pengusung pesakit dan mikroskop pembedahan saraf, selain sokongan kepada jabatan kecemasan serta bantuan kepada pantri hospital dan fasiliti kesihatan lain.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi doktor dan pembantu perubatan (MA) secara sambilan sebagai usaha membantu mengurangkan beban petugas kesihatan, khususnya di jabatan kecemasan hospital.
Sementara itu, Johor turut merekodkan penurunan sebanyak 55.1 peratus kes denggi apabila sebanyak 5,784 kes dicatatkan sehingga Minggu Epid 50/2025 berbanding 12,896 kes bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pencapaian itu merupakan hasil pelbagai usaha pencegahan yang dilaksanakan bagi menangani penularan penyakit berkenaan menerusi peruntukan berjumlah RM65,000 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



