CUTI PANJANG BAWA REZEKI UNTUK PENGUSAHA TEMPATAN

Suasana ekonomi yang kini semakin aktif terutama pada hujung minggu serta musim cuti perayaan dan sekolah memberi kesan positif kepada ramai peniaga tempatan termasuk pengusaha makanan dan minuman. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Cuti panjang sempena Aidiladha, Hari Wesak, Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong serta musim cuti persekolahan terus memberi limpahan rezeki kepada peniaga kecil dan pengusaha tempatan di seluruh Johor apabila beberapa kawasan tumpuan awam dilihat menerima peningkatan kehadiran pengunjung.

 

Bagi Nur Aisyah Hamdan, 32, pengusaha makanan di Pontian, peningkatan pelanggan ketika tempoh cuti panjang membantu meningkatkan jualan harian selain memberi peluang kepada peniaga kecil menambah pendapatan keluarga masing-masing.

 

Menurutnya, suasana ekonomi yang kini semakin aktif terutama pada hujung minggu serta musim cuti perayaan dan sekolah memberi kesan positif kepada ramai peniaga tempatan termasuk pengusaha makanan dan minuman.

 

Sementara itu, Md Ezam Daimon, 49, pengusaha homestay di Serkat, Tanjung Piai menyifatkan peningkatan tempahan penginapan sepanjang minggu ini menunjukkan Johor terus menjadi pilihan pengunjung domestik serta pelancong dari Singapura.

 

Beliau turut berpandangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan pengangkutan yang semakin baik telah banyak membantu merancakkan lagi sektor pelancongan serta ekonomi setempat, termasuk di daerah-daerah lain di negeri ini.

 

Presiden Persatuan Homestay Johor itu turut menghargai keprihatinan Kerajaan Johor menerusi pemberian Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara ‘one-off’ kepada pengusaha homestay yang sedikit sebanyak membantu meringankan beban serta menyokong kelangsungan perniagaan pelancongan tempatan.

 

Siti Hajar Salleh, 57, penjaja kecil di Kluang berkata cuti panjang memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan apabila kawasan rekreasi dan pusat tumpuan awam seperti Gunung Lambak kini turut dipenuhi pengunjung sama ada dari dalam mahupun luar negeri ini.

 

Katanya, limpahan ekonomi seumpama itu penting bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup selain memberi ruang kepada usahawan kecil terus berkembang.

 

Kerajaan Johor sebelum ini memberi fokus kepada pengukuhan ekonomi rakyat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan dan sokongan kepada perusahaan kecil yang secara tidak langsung merancakkan aktiviti ekonomi domestik sepanjang musim cuti ini.

 

#JohorSafeZone
#MehLahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor