PENGANTIN BAHARU, AJK MASJID DAN SURAU HARGAI BKJ

Pasangan baharu berkahwin kategori Muslim antara penerima Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat menyifatkan bantuan RM400 diterima amat bermakna dalam membantu menampung sebahagian perbelanjaan selepas mendirikan rumah tangga. | Foto FB Aznan Tamin

 

#IskandarPuteri – Pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat terus menerima maklum balas positif daripada rakyat yang menyifatkan bantuan yang disalurkan sebagai usaha murni Kerajaan Johor dalam membantu meringankan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan Bangsa Johor.

 

Bagi pasangan baharu berkahwin kategori Muslim, Muhammad Firdaus Roslan, 29, bersama isterinya, Siti Aisyah Mohd Yusof, 27, berkata bantuan RM400 yang diterimanya amat bermakna terutama dalam membantu menampung sebahagian perbelanjaan selepas mendirikan rumah tangga.

 

Menurutnya, meskipun berasal dari Pahang, beliau kini menetap dan membina kehidupan bersama isteri di Johor serta bersyukur dapat merasai sendiri pelbagai inisiatif kebajikan yang disediakan Kerajaan Johor untuk kesejahteraan rakyat.

 

Sementara itu, penerima kategori pasangan baharu berkahwin bukan Islam, Tan Wei Jian, 31, bersama pasangannya, Lim Pei Xin, 29, berkata bantuan RM400 itu memberi suntikan semangat kepada pasangan muda untuk terus merancang masa depan dengan lebih yakin dan tenang.

 

Katanya, inisiatif yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat membuktikan pendekatan inklusif Kerajaan Johor dalam memastikan manfaat pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang.

 

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau Al-Hidayah, Taman Universiti, Skudai, Mohd Faizal Ahmad, 45, berkata bantuan RM200 kepada jawatankuasa masjid dan surau disifatkannya sebagai satu penghargaan terhadap peranan yang dimainkan dalam mengimarahkan institusi masjid serta memperkukuhkan perpaduan komuniti setempat.

 

Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja membantu menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan, malah menjadi suntikan semangat kepada jawatankuasa masjid dan surau untuk terus memperkasa program yang dapat memupuk perpaduan, kebajikan serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat setempat.

 

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan nilai peruntukan sebanyak RM138 juta yang bakal memanfaatkan lebih 600,000 Bangsa Johor, sekali gus membuktikan bahawa peningkatan hasil negeri akan terus disalurkan kembali kepada rakyat.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor