JEMALUANG DAIRY VALLEY SEDIA HASILKAN LIMA JUTA LITER SUSU SEGAR TAHUN INI

Sehingga kini, JDV mempunyai 1,000 ekor lembu betina baka tenusu yang dibawa masuk pada tahun lalu, selain 900 ekor anak lembu baharu yang berjaya dihasilkan menerusi program pembiakan baka yang sedang berkembang dengan baik. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Projek pembangunan industri tenusu Johor di Jemaluang Dairy Valley (JDV) terus menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka mencapai sasaran pengeluaran sebanyak lima juta liter susu segar bagi tahun ini.
Sehingga kini, JDV mempunyai 1,000 ekor lembu betina baka tenusu yang dibawa masuk pada tahun lalu, selain 900 ekor anak lembu baharu yang berjaya dihasilkan menerusi program pembiakan baka yang sedang berkembang dengan baik.
Perkembangan memberangsangkan itu mencerminkan kejayaan pelaksanaan projek berimpak tinggi yang menjadi antara pemacu utama agenda keterjaminan makanan Kerajaan Johor, khususnya dalam sektor tenusu.
Selain itu, sebanyak 500 ekor lagi baka lembu tenusu dijangka akan tiba di JDV pada penghujung tahun ini bagi meningkatkan kapasiti ternakan dan pengeluaran susu segar, sekali gus memperkukuh agenda Johor sebagai peneraju industri tenusu negara.
Penambahan tersebut dijangka memperkukuh keupayaan operasi JDV serta menyokong sasaran jangka panjang untuk meningkatkan pengeluaran susu segar bagi memenuhi permintaan pasaran domestik.
Selain meningkatkan pengeluaran makanan tempatan, projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti sekitar melalui pembangunan industri hiliran yang berkaitan khususnya perusahaan pembuatan berasaskan produk tenusu.
Dengan pertambahan baka lembu tenusu dan program pembiakan yang terus berkembang, pengeluaran susu di Johor dijangka meningkat secara berperingkat dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh bekalan makanan negara.
Perkembangan ini secara tidak langsung meletakkan Johor di landasan yang tepat untuk muncul sebagai antara pengeluar utama susu segar negara pada masa hadapan, sekali gus menyokong aspirasi negeri sebagai hab makanan terunggul negara.
#JohorSafeZone
#AgendaKeterjaminanMakananJohor
#JemaluangDairyValley
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



