KEJOHANAN BOLA SEPAK DRON PERKUKUH KERJASAMA MALAYSIA-SINGAPURA

Malaysia-Singapore Drone Soccer Friendship Cup 2026 memperkukuh integrasi serantau menerusi sukan bola sepak dron berasaskan STEM dan teknologi.

 

#IskandarPuteri – Penganjuran Malaysia-Singapore Drone Soccer Friendship Cup 2026 merupakan kejohanan sukan elektronik berteknologi tinggi yang julung kali diadakan dengan mempertemukan komuniti bola sepak dron dari kedua-dua negara merentasi sempadan.

 

Kejohanan berlangsung pada 6 dan 7 Jun 2026 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri semakin diiktiraf sebagai sukan berdasarkan STEM berimpak tinggi untuk pembangunan pelajar dan menjadi platform penting untuk mempererat integrasi serantau serta memacu inovasi teknologi dalam bidang sukan.

 

Piala persahabatan anjuran bersama Cybersphere, wakil rasmi Malaysia kepada Federation of International Dronesoccer Association (FIDA) dan Persatuan Drone Soccer Singapura (ADSS) merupakan acara sukan bersama Malaysia dan Singapura pertama diadakan sejak penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sekali gus membuktikan era baharu kerjasama rentas sempadan dalam inovasi belia, teknologi sukan dan penglibatan masyarakat.

 

Lebih 30 pasukan berentap di kejohanan sukan elektronik berprestij tersebut bagi merebut kejuaraan dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Novice, Brushed dan Brushless. Kejohanan ini juga turut melibatkan 12 pasukan dari Singapura yang bertanding dalam kategori Brushed dan Brushless.

 

Cybersphere Drone Soccer bakal menganjurkan kelas latihan mingguan di Pusat Sukan Estuari, Iskandar Puteri bagi memperkukuh ekosistem akar umbi sukan dron dalam negara dan membuka peluang besar kepada komuniti belia tempatan untuk menembusi arena sukan teknologi antarabangsa.

 

#JohorSafeZone
#DroneSoccer
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor