FCSFZ DIJANGKA CAPAI SASARAN PELABURAN RM2 BILION TAHUN INI

Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) dijangka mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2 bilion tahun ini susulan minat yang semakin meningkat daripada pelabur tempatan dan antarabangsa. Sehingga kini, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) telah menerima 260 pertanyaan pelaburan, termasuk 48 pertanyaan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2026.

 

#IskandarPuteri – Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ) dijangka mampu mencapai sasaran pelaburan bernilai RM2 bilion pada tahun ini susulan sambutan menggalakkan yang diterima daripada kumpulan pelabur domestik dan antarabangsa sejak kawasan itu diperkenalkan sebagai zon kewangan khas.

 

Sehingga kini, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) telah menerima sebanyak 260 pertanyaan daripada pelabur berpotensi yang berminat terhadap prospek pelaburan di FCSFZ, termasuk 48 pertanyaan yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga April 2026.

 

Pertanyaan tersebut melibatkan sektor perkhidmatan kewangan, perniagaan serta firma pengurusan kekayaan keluarga tunggal dengan hampir separuh daripadanya datang daripada pelabur domestik, jelas YBhg. Tuan Haji Natazha Harris, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor.

 

Selain itu, beberapa syarikat kini di peringkat akhir rundingan dan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan dengan nilai potensi pelaburan dianggar mencecah bilion ringgit khusus dalam sektor perkhidmatan kewangan, ekonomi digital, teknologi hijau dan perkhidmatan bernilai tinggi.

 

Bagi syarikat yang terlibat dalam teknologi kewangan (fintech), pengurusan kekayaan, perkhidmatan perniagaan serantau serta teknologi bandar pintar turut dilihat cenderung untuk menjadikan FCSFZ sebagai lokasi pengembangan operasi mereka.

 

Kedudukan strategik Forest City yang berdekatan Singapura, kos operasi yang kompetitif serta keupayaan memanfaatkan ekosistem digital dan kewangan serantau menjadi antara faktor utama dalam menarik perhatian pelabur antarabangsa ke lokasi berkenaan.

 

Selain itu, pelaksanaan pelbagai insentif, mekanisme pemudah cara pelaburan serta kerjasama ekonomi yang semakin kukuh antara Malaysia dan Singapura terus mempertingkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi pertumbuhan kawasan tersebut.

 

Komitmen berterusan Invest Johor dan IMFC-J dalam memperkukuh keyakinan pelabur melalui dasar yang jelas, pemudah cara pelaburan yang cekap serta insentif yang kompetitif dijangka terus mempertingkat daya tarikan FCSFZ sebagai hab ekonomi, kewangan dan digital bertaraf dunia.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#InvestJohor
#JSSEZ
#SFZForestCity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor