KEBOCORAN BAHAN KIMIA DI KAWASAN PERINDUSTRIAN PASIR GUDANG BERJAYA DIKAWAL

Kejadian kebocoran bahan kimia yang dipercayai berlaku di sebuah premis industri di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang berjaya dikawal dengan pantas hasil tindakan segera pelbagai agensi selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor menerima laporan berhubung insiden tersebut. | Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor
#IskandarPuteri – Tindakan pantas daripada pelbagai agensi berjaya mengawal kejadian kebocoran bahan kimia yang dipercayai berlaku di sebuah premis industri di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang hari ini, sekali gus memastikan keselamatan pekerja dan komuniti sekitar terus terpelihara.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam kenyataannya memaklumkan telah menerima laporan berhubung kejadian kebocoran bahan kimia di Wilgreen Recovery Sdn. Bhd., PLO 569, Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, sebelum pasukan operasi segera digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang bersama Pasukan Khas Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Larkin telah menjalankan operasi pemantauan, penilaian risiko serta tindakan kawalan bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat serta terkawal.
Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan bahan buangan berjadual SW206 atau Spent Nitric Acid yang memerlukan pemantauan rapi mengikut prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.
Pasukan HAZMAT JBPM turut melaksanakan pemeriksaan udara, pemantauan bacaan gas dan kadar kualiti keasidan atau kealkalian (pH) serta pengesahan bahan terlibat menggunakan peralatan pengesanan khas bagi menilai tahap risiko di lokasi kejadian.
Pada masa sama, pihak premis berkenaan juga telah mengambil tindakan pengawalan melalui penggunaan sistem scrubber bagi mengurangkan kesan kebocoran dan memastikan bahan terlibat dapat dikendalikan dengan selamat.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiada bacaan gas berbahaya dikesan di kawasan kejadian dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya tanpa sebarang ancaman kepada keselamatan awam.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



