PROJEK RM15 BILION NEXUS SEDENAK JADI PEMANGKIN BAHARU JS-SEZ

Nexus Sedenak dibangunkan sebagai ekosistem ekonomi generasi baharu yang menggabungkan komponen perindustrian, logistik, komersial, kediaman dan gaya hidup dalam satu pembangunan yang saling melengkapi. | Foto Invest Johor
#IskandarPuteri – Johor terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila projek Nexus Sedenak bernilai RM15 bilion dilancarkan secara rasmi sebagai hab perindustrian dan rantaian bekalan baharu dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pembangunan bersepadu di atas tapak seluas 2,940 ekar itu bakal mentransformasikan Ladang Air Manis di Sedenak menjadi sebuah ekosistem perindustrian, logistik dan pelaburan bertaraf serantau yang berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi Johor serta memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan.
Nexus Sedenak dibangunkan sebagai ekosistem ekonomi generasi baharu yang menggabungkan komponen perindustrian, logistik, komersial, kediaman dan gaya hidup dalam satu pembangunan yang saling melengkapi.
Pembangunan tersebut dirangka bagi menyokong pelbagai sektor berimpak tinggi termasuk pembuatan, logistik, agri-teknologi, teknologi makanan, teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, farmaseutikal dan industri bernilai tinggi lain yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi Johor pada masa hadapan.
Sebagai antara pemangkin utama JS-SEZ, Nexus Sedenak dijangka mampu memperkukuh integrasi rantaian bekalan serantau, meningkatkan kecekapan perdagangan rentas sempadan serta mengukuhkan kedudukan Johor sebagai destinasi pilihan pelaburan, inovasi dan pembangunan industri di rantau ASEAN.
Selain itu, beberapa kerjasama strategik turut dimeterai, antaranya kerjasama bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi meneroka pembangunan dan pengoperasian Inland Port yang akan memperkukuh integrasi logistik multimodal serta pergerakan kargo rentas sempadan.
Selain itu, SOCAT turut menjalin kerjasama dengan PIJ Holdings Sdn. Bhd. untuk meneroka pembangunan Hab Dagangan Halal Johor, sekali gus menyokong usaha menjadikan negeri ini sebagai pusat perdagangan halal strategik di peringkat serantau dan global.
Usaha ini turut diperkukuh menerusi kerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor yang akan memberi fokus kepada pembangunan bakat, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan penyediaan modal insan berdaya saing bagi memenuhi keperluan pelabur yang bakal beroperasi di kawasan tersebut.
Projek Nexus Sedenak dijangka mampu merangsang kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkukuh kedudukan Johor sebagai gerbang ekonomi utama ASEAN sejajar dengan aspirasi pembangunan JS-SEZ.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#InvestJohor
#JSSEZ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



