RMMJ BUKTIKAN USAHA KERAJAAN JOHOR PERLUAS PEMILIKAN RUMAH

Komitmen Kerajaan Johor untuk membina 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030 terus diterjemahkan apabila sebanyak 21,412 unit telah berjaya direalisasikan, manakala 8,588 unit lagi dijangka siap menjelang penghujung tahun ini, sekali gus mencapai sasaran 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026. | Foto Arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) terus menjadi bukti komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memperluaskan pemilikan rumah apabila semakin ramai rakyat berjaya memiliki kediaman sendiri hasil pelaksanaan dasar perumahan yang menumpukan aspek akses, kemampuan serta kemudahan proses permohonan.

 

Bagi Nurul Hidayah Mohd. Salleh, 36, beliau meluahkan rasa syukur apabila berjaya memiliki rumah idamannya menerusi inisiatif RMMJ di Taman Tasik Indah, Kluang, sambil berharap lebih banyak projek seumpamanya dapat diteruskan agar lebih ramai rakyat turut berpeluang memiliki kediaman sendiri.

 

Menurutnya, proses permohonan RMMJ kini juga lebih mudah dan telus sehingga memberi keyakinan kepada pemohon bahawa setiap permohonan yang dikemukakan secara dalam talian dinilai secara adil mengikut syarat yang ditetapkan.

 

Sementara itu, Mohd. Azlan Abdul Rahman, 41, memberitahu kejayaan rakan-rakannya menerima kunci rumah RMMJ di Taman Rimba Indah, Pontian turut menjadi bukti bahawa inisiatif berkenaan benar-benar memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah pertama.

 

Beliau mengakui timbul rasa cemburu apabila melihat rakan-rakannya sudah berpindah ke rumah sendiri, namun tetap bersyukur dan berdoa agar rezekinya untuk memiliki kediaman sendiri turut tiba suatu hari nanti, khususnya di Residensi Bangsa Johor @ Simpang Renggam.

 

Bagi Muhammad Firdaus Roslan, 33, pelaksanaan projek RMMJ di semua daerah di negeri ini akan membuka peluang lebih luas kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah untuk memiliki kediaman sendiri tanpa perlu terus bergantung kepada rumah sewa.

 

Komitmen Kerajaan Johor untuk membina 100,000 unit RMMJ menjelang tahun 2030 terus diterjemahkan apabila sebanyak 21,412 unit telah berjaya direalisasikan, manakala 8,588 unit lagi dijangka siap menjelang penghujung tahun ini, sekali gus mencapai sasaran 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026.

 

Kerajaan Johor turut memperkenalkan Inisiatif Perumahan Kasih Johor yang menawarkan bantuan beli rumah pertama sebanyak RM5,000, bantuan masuk rumah RM2,000 serta bantuan sewa rumah RM2,500 bagi meringankan beban rakyat untuk memiliki dan mendiami kediaman sendiri.

 

Usaha berterusan memperluaskan pemilikan rumah menerusi RMMJ membuktikan bahawa kejayaan sesebuah dasar bukan sekadar diukur melalui pengumuman projek baharu, sebaliknya apabila lebih ramai rakyat berjaya menerima kunci rumah, memiliki kediaman sendiri dan menikmati kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga.

 

#JohorSafeZone
#RumahMampuMilikJohor
#PerumahanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor