MBIP BATAL LESEN, ARAH NETWORK SCHOOL HENTI OPERASI

NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City dihentikan berkuat kuasa pada 22 Julai ini.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya keputusan yang dibuat semasa Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan semua aktiviti NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City dihentikan berkuat kuasa pada 22 Julai ini.
Keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat, menurut kenyataan media YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Kerajaan Johor menjelaskan tindakan penguatkuasaan itu hanya diambil selepas aduan berkenaan disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan, selain akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi bagi menangani sebarang bentuk ketidakpatuhan terhadap peraturan serta undang-undang sedia ada.
Menurut kenyataan media itu, Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi, namun tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi yang boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara.
Kerajaan Johor turut menegaskan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.
Justeru, Kerajaan Johor menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Gesaan turut dibuat kepada Kementerian Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) supaya mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya berlaku ketidakpatuhan undang-undang.
Pada masa sama, semua agensi berkaitan digesa supaya turut memperketat proses penelitian wajar serta memperkukuh penyelarasan dalam aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang.
Kerajaan Johor akan terus memastikan negeri ini kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa berkompromi terhadap soal keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara.
Kesemua perkara berkenaan juga telah disembah maklum serta diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
#JohorSafeZone
#NetworkSchool
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


