DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BAWA ROYAL JOHOR KE SEPARUH AKHIR JSCPT

Meskipun masih dibelenggu kecederaan tangan, DYAM Tunku Mahkota Ismail turun beraksi pada chukka keempat ketika kedua-dua pasukan terikat 4-4 sebelum kehadiran Pemangku Sultan Johor mengubah momentum permainan memihak kepada Royal Johor. | Foto Johor Southern Tigers
#JohorBahru – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mempamerkan aksi cemerlang apabila menjadi pencetus kebangkitan yang membantu Royal Johor menewaskan Korea Polo 8-7 dalam saingan Johor Super Crown Polo Tournament (JSCPT) 2026, hari ini.
Meskipun masih dibelenggu kecederaan tangan, DYAM Tunku Mahkota Ismail turun beraksi pada chukka keempat ketika kedua-dua pasukan terikat 4-4 sebelum kehadiran Pemangku Sultan Johor mengubah momentum permainan memihak kepada Royal Johor.
Ketajaman DYAM Tunku Mahkota Ismail kemudian terserlah apabila meledak satu jaringan penting yang menyemarakkan kebangkitan pasukan serta meningkatkan tekanan ke atas Korea Polo dalam aksi penuh intensiti ini.
Royal Johor terus memperhebat serangan dengan corak permainan lebih agresif, namun Korea Polo tetap memberi tentangan sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas gol sehingga penghujung chukka kelima.
Juan Martin Nero, bintang polo Argentina, kemudiannya muncul dengan jaringan untuk meletakkan Royal Johor di hadapan 8-7 sebelum pasukan mempamerkan disiplin dan ketenangan pada chukka terakhir bagi mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan dramatik ini mengesahkan kemaraan Royal Johor ke peringkat separuh akhir JSCPT 2026 sekali gus meneruskan momentum positif pasukan dalam kejohanan berprestij berkenaan.
Prestasi cemerlang DYAM Tunku Mahkota Ismail turut menjadi kesinambungan aksi hebat pada perlawanan pembukaan menentang Temasek semalam apabila meledak lima jaringan seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam kalangan penjaring utama kejohanan.
JSCPT 2026 yang menghimpunkan lima pasukan elit serta barisan pemain bertaraf dunia berlangsung di Istana Pasir Pelangi, The Royal Polo Grounds, dari 1 hingga 6 September ini, boleh disaksikan secara langsung menerusi PoloLine.TV sepanjang kejohanan.
#JohorSuperCrown2026
#PoloTournament2026
#RoyalJohorPoloClub
#LegacyInMotion
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


