‘SAYA YAKIN DENGAN PASUKAN RAGBI JOHOR’ – SAIZUL HAFIFI MD NOOR

Skuad ragbi 7 sebelah (7s) lelaki Johor, juara bertahan SUKMA XXI Sarawak 2024, kini giat menjalani persiapan menghadapi SUKMA XXII Selangor 2026.
#IskandarPuteri – Skuad ragbi lelaki Johor berjaya merangkul pingat emas pada temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 selepas menewaskan Terengganu dengan keputusan penuh 29-0 dalam aksi final di Stadium Miri.
Kejayaan cemerlang dalam acara ragbi tujuh sebelah (7s) ini sememangnya menjadi detik bersejarah yang amat membanggakan seluruh peminat sukan negeri Johor.
Mohd Saizul Hafifi Md Noor, ketua jurulatih ragbi 7s lelaki Johor merupakan antara individu penting di sebalik kejayaan di Bumi Kenyalang.
Selepas empat tahun membimbing skuad Johor 7s, beliau mengakui status Johor sebagai pasukan pilihan memberikan tekanan fizikal dan mental yang tinggi untuk edisi SUKMA seterusnya.
“Status juara bertahan membawa jangkaan tinggi dan tekanan hebat untuk saya. Tetapi itu semua cabaran biasa. Pada saya, kunci utama kejayaan adalah untuk mengekalkan tumpuan penuh serta mengelakkan gangguan luar,” ujar Saizul kepada Media Digital Johor.
Walau bagaimanapun, beliau yakin dengan skuad bimbingannya yang sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) dan juga ibu bapa pemain.
“Saya yakin dengan pasukan Johor untuk tahun ini. Sejak berkhidmat dengan Johor, saya rasa Johor telah menyediakan struktur yang lengkap untuk sukan ragbi. Atas sebab ini juga, kami akan cuba sebaik mungkin untuk membalas jasa semua,” katanya.
Skuad ragbi 7s Johor kini sedang melakukan persiapan rapi bagi mengharungi temasya SUKMA XXII Selangor 2026 selepas diundi dalam Kumpulan A bersama Selangor dan Perak.
Sukan ragbi 7s lelaki dan perempuan akan membuka tirai pada 20 hingga 23 Ogos di Padang Sultan Suleiman, Klang.
Semoga berjaya skuad Ragbi Johor!
#JohorSafeZone
#Fearless
#JohorRugbyUnion
#SUKMASelangor2026
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


