ANUGERAH KECEMERLANGAN PEPERIKSAAN JADI PEMBAKAR SEMANGAT ANAK JOHOR

Penerima Anugerah Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Syafiqa Shah Hirunizam, 19, menyifatkan pengiktirafan yang diterimanya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai impian pada masa hadapan. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Pengiktirafan melalui Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Johor Tahun 2025 Kali Ke-18 bukan sekadar tanda penghargaan terhadap pencapaian akademik, malah ia juga menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Johor untuk terus melangkah lebih jauh dalam mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik.
Bagi Syafiqa Shah Hirunizam, 19, penerima Anugerah Terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), memberitahu kejayaan meraih anugerah tersebut sememangnya diluar jangkaannya, namun kini ia menjadi satu kenangan yang amat bermakna, sekali gus menyuntik semangat kepada dirinya untuk terus berusaha mencapai impian pada masa hadapan.
Beliau yang sedang membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian ke Mesir turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan, doa serta dorongan sepanjang perjalanannya di bangku sekolah.
Beliau kini bakal meneruskan pengajian di Mesir dalam bidang bahasa Arab dan berharap segala ilmu yang diperoleh sepanjang berada di sekolah menengah dan STAM dapat dimanfaatkan dalam pengajiannya selepas ini.
Bagi Muhammad Amzar Nordin, 17, penerima Anugerah Terbaik Sijil Menengah Agama (SMA), berkata pengiktirafan yang diterimanya ini adalah hasil sokongan insan di sekelilingnya, selain berkat daripada amalan membaca al-Quran dan berdoa sebelum memulakan sesi menelaah pelajaran.
Lebih daripada sekadar mengejar kecemerlangan akademik, beliau kini turut menyimpan impian untuk terus mendalami bidang agama dan pendidikan, sekali gus ingin merealisasikan cita-cita untuk bergelar seorang pendidik suatu hari nanti.
Beliau sebelum ini juga pernah menerima beberapa anugerah kecemerlang seperti Pelajar Terbaik Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Daerah Kluang tahun 2022 dan Pelajar Cemerlang Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) Negeri Johor tahun 2023.
Terdahulu, seramai 257 murid termasuk pihak sekolah menerima pengiktirafan sempena Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Johor Tahun 2025 Kali Ke-18 yang berlangsung di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#PendidikanIslamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


