JOHOR SASAR 45 PINGAT EMAS DI SUKMA SELANGOR 2026

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 di Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kontinjen Johor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 55 pingat perak dan 43 pingat gangsa pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, selain mengumumkan insentif khas kepada atlet yang berjaya menghadiahkan pingat buat negeri ini dalam kejohanan dwi-tahunan berkenaan.
Justeru bagi merangsang semangat atlet untuk memberi yang terbaik pada temasya SUKMA kali ini, Kerajaan Johor menawarkan insentif RM10,000 kepada penyumbang pingat emas untuk acara individu, manakala ganjaran bernilai RM9,000 menanti pemenang acara berpasukan yang melibatkan enam atlet dan RM8,500 seorang bagi acara berpasukan melebihi tujuh atlet.
Bagi pemenang pingat perak pula, insentif yang disediakan ialah RM5,000 bagi acara individu dan berpasukan enam atlet, manakala acara berpasukan melebihi tujuh pula atlet bakal menerima RM1,000 seorang.
Pemenang pingat gangsa pula bakal menerima insentif bernilai RM2,000 bagi acara individu, RM1,000 seorang bagi acara berpasukan sehingga tujuh atlet dan RM750 seorang bagi acara berpasukan melebihi tujuh atlet, selain insentif khas RM5,000 kepada Olahragawan dan Olahragawati SUKMA XXII Selangor 2026.
Pada temasya SUKMA kali ini, Kontinjen Johor akan menghantar 689 atlet, 150 jurulatih dan 48 pengurus pasukan yang akan bersaing dalam 379 acara daripada 37 jenis sukan, manakala kontinjen Para SUKMA pula dibarisi 110 atlet, 23 jurulatih dan 28 pegawai dalam 10 jenis sukan.
Kontinjen SUKMA Johor akan diketuai YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor sebagai Ketua Kontinjen dibantu tiga Timbalan Ketua Kontinjen, iaitu YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan).
Dua lagi Timbalan Ketua Kontinjen ialah Muhamad Farkhan Mohd Haron, bekas peninju kebangsaan yang berpengalaman di pentas antarabangsa, serta Nurfariha Abdul Razak, ikon sukan Johor yang pernah mengharumkan nama negeri dan negara dalam sukan bola jaring.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor ke Temasya SUKMA dan Para SUKMA XXII Selangor 2026 di Bangunan Temenggong Ibrahim, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), hari ini.
#JohorSafeZone
#SUKMAXXII
#Fearless
#DemiJohor
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


