JOHOR SASAR JS-SEZ JADI PINTU MASUK UTAMA ASEAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama Tuan Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mahu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berkembang sebagai antara pintu masuk utama bagi syarikat antarabangsa untuk mengembangkan operasi ke pasaran ASEAN sekali gus mempercepat pembangunan Johor secara menyeluruh.
Dalam jangka panjang, JS-SEZ akan disokong oleh prasarana lebih baik, kemudahan awam berkualiti serta persekitaran perniagaan yang kukuh bagi memperluas ruang kepada syarikat dan usahawan tempatan seterusnya limpahan ekonominya dinikmati rakyat Johor.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, kerjasama Johor-Singapura menerusi JS-SEZ memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan strategik dan industri bernilai tinggi, memperkukuh rantaian bekalan rentas sempadan serta menawarkan ekosistem kompetitif kepada pelabur serantau dan global.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pembangunan bakat bagi memastikan tenaga kerja Johor benar-benar bersedia merebut pekerjaan bernilai tinggi serta peluang baharu yang diwujudkan seiring pertumbuhan JS-SEZ.
Usaha memperkukuh pembangunan kemahiran turut mendapat sokongan Kerajaan Singapura, termasuk melalui jalinan antara Johor Skills dan Republic Polytechnic dalam latihan industri serta libat urus bersama sektor perniagaan.
Kerajaan Negeri mahu hubungan erat Johor-Singapura terus dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada rakyat serta membina pertumbuhan ekonomi yang membawa manfaat dan kemakmuran bersama untuk generasi akan datang.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengadakan pertemuan bersama Tuan Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura sempena lawatan kerja ke republik berkenaan bagi membincangkan langkah memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua pihak khususnya menerusi pelaksanaan JS-SEZ.
#JohorSafeZone
#JSSEZ
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


