JMR PERKUKUH KERJASAMA BERSAMA TRENDS HOBBY MENJELANG PERLUMBAAN SUZUKA 1000 GT3

JMR turut mempunyai rekod cemerlang di Suzuka apabila berjaya meraih podium bagi kategori Pro dan Pro-Am dalam penampilan sulungnya pada tahun 2025, termasuk tempat ketiga keseluruhan pada perlumbaan berkenaan menjadikan satu-satunya pasukan Corvette di Asia yang berupaya meraih kejayaan sedemikian. | Foto JOHOR Racing
#IskandarPuteri – Johor Motorsports Racing (JMR) terus memperluaskan jenamanya di peringkat antarabangsa menerusi kerjasama baharu bersama Trends Hobby, iaitu pengeluar model koleksi terkemuka dari Hong Kong menjelang perlumbaan Suzuka 1000 GT3, Jepun.
Kerjasama berkenaan menyaksikan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R milik JMR akan diterjemah dalam bentuk model replika skala 1:64 oleh Trends Hobby, sekali gus menjadikannya model Corvette pertama yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Selain itu, kerjasama ini dijangka mampu memberi nilai tambah kepada peminat sukan permotoran apabila jentera perlumbaan JMR bukan sahaja dapat disaksikan di litar, malah ia juga bakal menjadi model koleksi yang boleh dimiliki oleh peminat di seluruh dunia.
Ia turut mencerminkan kejayaan JMR di peringkat antarabangsa selepas mempamerkan prestasi membanggakan sepanjang musim 2026, termasuk meraih kejuaraan kelas pada ‘CrowdStrike 24 Hours of Spa’ serta menamatkan perlumbaan berprestij ‘24 Hours of Le Mans’.
JMR turut mempunyai rekod cemerlang di Suzuka apabila berjaya meraih podium bagi kategori Pro dan Pro-Am dalam penampilan sulungnya pada tahun 2025, termasuk tempat ketiga keseluruhan pada perlumbaan berkenaan menjadikan satu-satunya pasukan Corvette di Asia yang berupaya meraih kejayaan sedemikian.
Pada perlumbaan Suzuka 1000 GT3 hujung minggu ini, jentera #99 kategori Pro-Am akan dikemudi YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor manakala jentera #2 JMR bagi kategori Pro pula bakal dipandu Scott McLaughlin, Nicky Catsburg dan Alex Sims.
#JohorSafeZone
#JMR
#TrendsHobby
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


