PUSAT BANDAR RAYA JOHOR BAHRU TERUS DIBERI NAFAS BAHARU

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau perkembangan penaiktarafan di kawasan 0KM Johor Bahru. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Usaha memperindah dan menghidupkan pusat bandar raya Johor Bahru terus diperkasa bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih menarik selari dengan aspirasi menjadikan Johor Bahru sebagai sebuah bandar raya moden dan mampan.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Projek Menaiktaraf Infrastruktur dan Pengindahan Johor Bahru City Centre (JBCC) oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), khusus menjadikan ruang bandar lebih mesra penjalan kaki, hidup dan ceria tanpa mengetepikan identiti serta warisan bandar raya berkenaan.
Antara lokasi diberi perhatian ialah kawasan 0KM Johor Bahru termasuk hentian bas strategik dan pencahayaan pokok warisan yang dirancang sebagai tumpuan visual, lokasi bergambar serta simbol permulaan kepada jaringan perjalanan bagi meneroka pusat bandar raya Johor Bahru.
Perancangan JBCC turut menghubungkan kawasan tumpuan seperti Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tan Hiok Nee dan Jalan Ibrahim sehingga ke destinasi utama seperti Bukit Timbalan, laluan RTS, Coronation Square, Kota Jail dan Zoo Johor menerusi jaringan pejalan kaki serta kemudahan mikromobiliti.
Menerusi pendekatan ‘place making area’, ruang-ruang bandar raya yang mempunyai nilai sejarah dan potensi tarikan turut diberi nafas baharu melalui elemen pencahayaan, landskap, penghijauan serta kemudahan yang dapat meningkatkan pengalaman pengunjung.
Usaha memperkukuh wajah pusat bandar raya ini turut menjadi semakin signifikan bersempena Tahun Melawat Johor 2026, apabila Johor Bahru terus diposisikan sebagai antara pintu masuk utama pelancong ke negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor diiringi YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor meninjau perkembangan penaiktarafan di kawasan 0KM Johor Bahru, semalam.
#JohorSafeZone
#0KMJohorBahru
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


