JOHOR PERHALUSI TINDAKAN SEGERA SUSULAN BANJIR KILAT
Oleh: Suhana Ariffin

YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Sidang Media Mesyuarat TaskForce Banjir Kilat di Kawasan Bandar raya Johor Bahru.
#JohorBahru – Kerajaan Johor terus memperhalusi tindakan segera bagi menangani kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan Bandar raya Johor Bahru baru-baru ini dengan menambah jumlah peruntukan sebanyak RM30 juta.
Peruntukan tambahan itu bagi melaksanakan penambahbaikan sistem saliran, mendalamkan kolam takungan serta menambah kapasiti pam air di beberapa lokasi di sekitar bandar raya berkenaan.
Beberapa tindakan segera juga akan dilaksanakan termasuk mendalamkan kolam takungan di Kampung Mohd Amin sebanyak tiga kaki daripada kedalaman sedia ada untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan air.
Selain itu, setiap kolam takungan dan parit monsun akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum hujan lebat berlaku bagi memastikan kapasiti ruang takungan sentiasa mencukupi untuk menampung air hujan, sekali gus berupaya mengurangkan risiko limpahan air yang menjadi punca banjir kilat.
Bagi tujuan itu, Kerajaan Johor turut menambah keupayaan sistem pam bagi menggerakkan pam mudah alih ke Kampung Pasir manakala beberapa projek seperti ‘Crossing Culvert’ di kawasan berisiko akan dipercepatkan bagi melancarkan aliran air ke Sungai Chat dan Selat Johor.
Antara langkah lain yang turut dicadangkan ialah pembinaan kolam takungan bawah tanah atau On-Site Detention (OSD), khususnya di kawasan yang mempunyai kekangan tanah lapang.
Menerusi sistem ini, ia akan membolehkan air hujan ditakung sementara di bawah tanah sebelum dilepaskan secara terkawal, manakala ruang di atasnya masih boleh digunakan sebagai tempat letak kereta atau kawasan lapang.
Sementara itu dari perancangan jangka panjang pula, Kerajaan Johor akan melantik perunding untuk menilai secara menyeluruh sistem saliran dan mitigasi banjir di Johor Bahru bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Kajian yang akan dilaksanakan oleh perunding tersebut turut meliputi keperluan menaik taraf parit monsun serta meningkatkan kapasiti pam sebagai persediaan menghadapi perubahan keadaan cuaca pada masa akan datang.
Untuk rekod, pada tahun sebelumnya, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi kerja-kerja menaik taraf parit monsun, menambah kapasiti pam serta membina ‘flap gate’ bagi mengawal aliran air ke Selat Johor.
Terdahulu, YB Dato’ Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hadir ke Sidang Media Mesyuarat TaskForce Banjir Kilat di Kawasan Bandar raya Johor Bahru di Lobi Menara MBJB.
#JohorSafeZone
#BangsaJohor
#TaskForceBanjir
#MBJB
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


