JOHOR TELITI MODEL YSISS, BANTU PERKUKUH SRBJ

YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Johor dalam lawatan penanda aras ke Yayasan Sarawak bagi meneliti model pendidikan serta pengurusan bantuan pendidikan yang dilaksanakan di negeri berkenaan. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor bakal meneliti model pengoperasian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang menawarkan bukan sahaja kurikulum Cambridge/IGCSE, tetapi juga turut memberikan akses pendidikan berkenaan kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Perkara itu menjadi antara fokus lawatan penanda aras delegasi Kerajaan Negeri Johor ke Yayasan Sarawak bagi melihat sendiri pendekatan yang boleh dijadikan rujukan dalam pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).
YSISS turut menjadi perhatian dari aspek model pelaksanaan, pengurusan sekolah serta pembangunan murid yang boleh memberi input kepada usaha memperkukuh pendekatan pendidikan menerusi SRBJ.
Selain YSISS, delegasi Kerjaaan Johor turut meneliti pengurusan bantuan pendidikan Yayasan Sarawak yang merangkumi biasiswa, pembiayaan pengajian dan bantuan persekolahan kepada anak Sarawak.
Pengalaman berkenaan turut memberi input kepada Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), khususnya dalam aspek proses permohonan, pengesahan kelayakan dan penyampaian bantuan pendidikan kepada golongan yang memerlukan.
Pendekatan yang bersesuaian juga akan turut diperhalusi sebelum ia dipertimbangkan untuk disesuaikan dengan keperluan pendidikan Johor, termasuk dalam pelaksanaan inisiatif SRBJ dan pembangunan bakat menerusi Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Johor dalam lawatan penanda aras ke Yayasan Sarawak bagi meneliti model pendidikan serta pengurusan bantuan pendidikan yang dilaksanakan di negeri berkenaan.
#JohorSafeZone
#PendidikanJohor2030
#SRBJ
#JTDC
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


