RTS LINK DIJANGKA MULA OPERASI FEBRUARI 2027

RTS Link dijangka memperkukuh hubungan pengangkutan rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, di samping memudahkan pergerakan harian penduduk serta menyokong hubungan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara. | Foto RTS Operations
#IskandarPuteri – Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka mula beroperasi pada Februari tahun 2027, tertakluk kepada pensijilan keselamatan bebas serta kelulusan kawal selia akhir daripada pihak berkuasa kedua-dua negara.
Perkembangan terbaharu projek itu dimaklumkan kepada Kerajaan Malaysia dan Singapura oleh RTS Operations Pte Ltd (RTSO), susulan kemajuan kerja pembinaan, pengujian sistem dan persediaan operasi projek berkenaan.
Kerja-kerja infrastruktur di Malaysia dan Singapura kini sebahagian besarnya telah siap dan kekal mengikut landasan bagi menyokong perkhidmatan penumpang selepas baki aktiviti pengujian serta pentauliahan diselesaikan.
RTSO menjangkakan ujian sistem akhir dan percubaan operasi dapat diselesaikan menjelang 31 Disember 2026, sebelum proses pensijilan keselamatan oleh penilai keselamatan bebas dan kelulusan kawal selia akhir dilaksanakan.
Projek berkenaan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura bagi menyediakan perkhidmatan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
RTS Link mempunyai kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak, manakala perjalanan antara kedua-dua stesen dijangka mengambil masa kira-kira lima minit.
Kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) turut disediakan di kedua-dua stesen bagi membolehkan penumpang menjalani proses pelepasan imigresen di lokasi berlepas.
RTSO bersama pihak berkuasa Malaysia dan Singapura akan meneruskan kerjasama bagi memastikan baki aktiviti projek dapat diselesaikan dengan selamat dan lancar sebelum perkhidmatan penumpang dimulakan.
RTS Link dijangka memperkukuh hubungan pengangkutan rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura, di samping memudahkan pergerakan harian penduduk serta menyokong hubungan ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara.
#JohorSafeZone
#WTN
#RTSLink
#InfrastrukturJohor
#PengangkutanAwam
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


