JOHOR GESA ASEAN ADAKAN MESYUARAT TERGEMPAR TANGANI JEREBU RENTAS SEMPADAN

Cadangan itu disuarakan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika menerima kunjungan YTH Bapak Sigit Suryantoro Widiyanto, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, bagi membincangkan keadaan jerebu dan kesannya terhadap kesihatan rakyat serta kualiti udara di beberapa kawasan. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mencadangkan ASEAN supaya mengadakan mesyuarat tergempar bagi menyelaras tindakan bersama bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Johor.
Cadangan itu disuarakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika menerima kunjungan YTH Bapak Sigit Suryantoro Widiyanto, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, bagi membincangkan keadaan jerebu dan kesannya terhadap kesihatan rakyat serta kualiti udara di beberapa kawasan di negeri ini.
Kerajaan Negeri berharap usaha menangani punca jerebu dapat dipergiatkan melalui pendekatan bersama tanpa menuding jari terhadap mana-mana pihak, memandangkan pencemaran udara berkenaan turut memberi kesan merentasi sempadan negara.
Pencemaran udara yang merentasi sempadan dan memberi kesan kepada negara jiran, termasuk Malaysia, memerlukan kerjasama serantau yang lebih erat bagi memastikan tindakan penyelesaian dapat diselaraskan secara bersama.
Sehubungan itu, ASEAN dicadangkan supaya memainkan peranan lebih aktif dengan mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi membincangkan langkah menangani isu berkenaan secara kolektif.
Malah, negara-negara anggota ASEAN yang mempunyai kepakaran, aset dan keupayaan berkaitan juga boleh membantu mengikut keperluan menerusi penyelarasan serta persetujuan secara bersama.
Kerjasama berkenaan penting bagi mempercepatkan usaha pencegahan, pemantauan dan tindak balas terhadap isu jerebu demi mengurangkan kesannya kepada kesejahteraan rakyat di rantau ini.
Setakat jam 4 petang tadi, keadaan kualiti udara di Johor masih belum menunjukkan perubahan ketara apabila kesemua lapan stesen pemantauan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori Tidak Sihat.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#JohorBersih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



