578 SEKOLAH AGAMA DI JOHOR JUGA DITUTUP SUSULAN JEREBU

Kenyataan media YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
#IskandarPuteri – Sebanyak 578 sekolah agama di seluruh Negeri Johor akan ditutup selama dua hari bermula esok sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Jumlah itu melibatkan 575 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) serta tiga Sekolah Menengah Agama (SMA) Kerajaan Johor yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Arahan penutupan yang sama turut terpakai kepada 239 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) yang berdaftar di bawah JAINJ.
Penutupan berkenaan bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan murid, guru serta warga sekolah dan institusi pendidikan Islam terus diberi keutamaan sepanjang keadaan jerebu berlaku.
Sebarang peperiksaan, pentaksiran atau program yang dijadualkan dalam tempoh tersebut akan ditangguhkan dan dijadualkan semula, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Pihak ibu bapa dan penjaga diseru supaya memantau keadaan kesihatan anak-anak, mengurangkan aktiviti di luar rumah serta mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala kesihatan seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.
Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan yang bersesuaian bagi memastikan keselamatan serta kesihatan anak-anak Johor sentiasa menjadi keutamaan.
Keputusan ini dibuat dengan menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, selaras dengan penutupan sekolah di seluruh Negeri Johor susulan keadaan jerebu yang berlaku ketika ini.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#PendidikanIslamJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


