JOHOR AKTIFKAN JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA NEGERI HADAPI JEREBU

Pemantauan dan penilaian situasi jerebu dicadangkan dilaksanakan setiap hari melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada jam 12 tengah hari bagi memastikan tindakan susulan dapat diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa. | FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor kini mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi memperkukuh penyelarasan tindakan antara agensi dalam menghadapi situasi jerebu yang melanda negeri ini, dengan keselamatan dan kesihatan murid serta seluruh Bangsa Johor terus menjadi keutamaan.
Langkah itu dibincangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Johor, hari ini.
Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada penubuhan Pasukan Petugas Khas (Task Force) Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi memantau perkembangan jerebu serta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sebelum murid kembali menjalani sesi persekolahan seperti biasa.
Selain itu, pemantauan dan penilaian situasi jerebu turut dicadangkan untuk dilaksanakan setiap hari pada pukul 12 tengah hari melalui JPBN bagi memastikan tindakan susulan dapat diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa.
Kerajaan Negeri turut menekankan kepentingan pemakluman lebih awal mengenai sebarang keputusan penutupan atau pembukaan semula sekolah. Keputusan tersebut tertakluk kepada prosedur serta ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya ibu bapa, penjaga dan warga pendidikan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan sewajarnya.
Penilaian situasi jerebu bukan sahaja mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini, malah turut melibatkan keadaan persekitaran, risiko terhadap kesihatan dan keselamatan murid serta kesiapsiagaan pihak berkaitan bagi memastikan kesinambungan pembelajaran terus terpelihara.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor bersama pelbagai agensi berkaitan, hari ini.
#JohorSafeZone
#JerebuJohor
#PengurusanBencana
#PendidikanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



