TASKA KEKAL BEROPERASI, PDK DAN PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK DITUTUP SUSULAN JEREBU

YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menerusi kenyataan rasmi pada Sabtu, memaklumkan status operasi TASKA, PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak susulan keadaan jerebu di negeri ini.
#IskandarPuteri – Semua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di seluruh Negeri Johor akan terus beroperasi seperti biasa, manakala Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak ditutup selama lima hari bermula 12 hingga 16 Oktober ini susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara.
Penutupan tersebut merupakan langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan dan keselamatan kanak-kanak selaras dengan pelanjutan tempoh penutupan sekolah serta institusi pendidikan di seluruh negeri.
Meskipun TASKA dibenarkan beroperasi, semua pengusaha diminta menghentikan aktiviti luar sepanjang tempoh berkenaan bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada udara tercemar.
Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan akan terus memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan keadaan semasa, manakala sebarang perubahan atau arahan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini serta nasihat pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, ibu bapa, penjaga dan pengusaha TASKA disaran sentiasa memantau kesihatan kanak-kanak, memastikan pengambilan air mencukupi, mengehadkan aktiviti luar serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak, sesak nafas atau ketidakselesaan akibat jerebu.
Justeru, kerjasama dan tanggungjawab semua pihak amat penting bagi memastikan kesihatan, keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak terus menjadi keutamaan sepanjang tempoh jerebu.
Terdahulu, YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor menerusi kenyataan rasmi pada Sabtu, memaklumkan status operasi TASKA, PDK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak susulan keadaan jerebu di negeri ini.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



