JOHOR MAHU PENINGKATAN PERUNTUKAN KKM PERKUKUH SISTEM KESIHATAN NEGERI

Belanjawan 2027 turut memperuntukkan RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan dan penaiktarafan hospital serta klinik selain RM200 juta untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan daripada hospital swasta bagi mengurangkan beban sistem kesihatan awam. | Foto FB AH SOON
#IskandarPuteri – Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada RM47.7 bilion menerusi Belanjawan 2027 diharap dapat memperkukuh sistem kesihatan awam serta meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan kepada rakyat, termasuk di Johor.
Antara keutamaan yang perlu diberikan perhatian adalah pembinaan bangunan baharu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, bagi menggantikan bangunan klinik pakar sedia ada menerusi peruntukan RM500 juta yang diumumkan pada 2023.
Pelaksanaan projek berkenaan diharap dapat berjalan lancar bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan rawatan pakar yang lebih selesa dan berkualiti.
Pada masa sama, perancangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) yang disebut dalam Belanjawan 2026 juga diharap terus diberikan perhatian bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di Johor yang semakin mendesak.
Belanjawan 2027 turut memperuntukkan RM1.2 bilion bagi penyelenggaraan dan penaiktarafan hospital serta klinik selain RM200 juta untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan daripada hospital swasta bagi mengurangkan beban sistem kesihatan awam.
Dari aspek tenaga kerja, langkah menyerap 9,000 doktor kontrak ke jawatan tetap pada 2027 disambut baik di samping keperluan menambah baik insentif dan peluang perkembangan kerjaya bagi mengekalkan tenaga kesihatan dalam sektor awam.
Usaha pendigitalan sektor kesihatan turut diperkukuh menerusi peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) untuk memperkemas pengurusan hospital serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Secara keseluruhan, penambahbaikan sistem kesihatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, kebajikan petugas, pengagihan tenaga kerja serta kerjasama antara hospital kerajaan dan swasta demi memastikan rakyat mendapat perkhidmatan rawatan yang berkualiti.
Terdahulu, YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor mengulas inisiatif sektor kesihatan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 serta kepentingan pelaksanaannya dalam memenuhi keperluan kesihatan rakyat Johor.
#JohorSafeZone
#Belanjawan2027
#SistemKesihatanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


