BKJ FASA EMPAT BUKTI KERAJAAN NEGERI HARGAI WARGA EMAS

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni salah seorang penerima BKJ Fasa 4 bagi DUN Machap di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5, Simpang Renggam, Kluang. | Foto MDJ Nurina Aisyah
Kluang – Kerajaan Negeri menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga emas menerusi pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa 4 yang memberi manfaat kepada 300,000 penerima di seluruh negeri.
Bagi fasa ini, setiap rakyat Johor berusia 60 tahun ke atas menerima bantuan RM200 bagi membantu meringankan kos sara hidup dan memenuhi keperluan harian melibatkan peruntukan sebanyak RM61 juta.
Untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap sahaja, seramai 7,079 warga emas menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM1.415 juta yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Johor.
Pada masa sama, bantuan yang disalurkan turut menggambarkan semangat Bangsa Johor apabila diberikan kepada rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang selaras dengan prinsip kebersamaan dan perpaduan di negeri ini.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan 22 inisiatif di bawah BKJ Fasa 4 dengan peruntukan berjumlah RM138 juta yang memanfaatkan lebih 600,000 Bangsa Johor sekali gus membuktikan bahawa peningkatan hasil negeri terus disalurkan kembali kepada rakyat.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan penyerahan BKJ Fasa 4 bagi DUN Machap di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 5, Simpang Renggam, Kluang, hari ini.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


