CORONATION SQUARE BAWA LIMPAHAN EKONOMI UNTUK JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Majlis Pecah Tanah Pusat Beli-Belah Coronation Square di Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Pembangunan Coronation Square dijangka menjana lebih RM9 bilion limpahan ekonomi serta mampu mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan, sekali gus menjadi pemangkin ekonomi baharu dalam kerangka Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Projek pembangunan ikonik itu akan memperkukuh Johor Bahru sebagai bandar raya metropolitan serantau menerusi komponen komersial, hospitaliti, kediaman moden dan kemudahan awam yang saling melengkapi dalam ekosistem Ibrahim International Business District (IIBD).
Selain itu, pembinaan pusat beli-belah di lokasi sama bakal mentransformasikan daerah itu sebagai kuasa ekonomi baharu negara, ditambah dengan akses Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang akan meningkatkan pergerakan rentas sempadan secara lebih cekap dan pantas.
Seiring dengan pelan inisiatif JS-SEZ, pembangunan itu dijangka menarik kemasukan syarikat antarabangsa serta pelaburan strategik, selain merancakkan ekosistem perniagaan tempatan serta membuka peluang kepada usahawan serta tenaga kerja Johor untuk terlibat dalam pasaran lebih kompetitif.
Dengan sokongan infrastruktur moden seperti RTS dan pelaksanaan JS-SEZ, Johor Bahru kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai bandar raya antarabangsa yang dinamik, saling berhubung dan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Beli-Belah Coronation Square di Johor Bahru, hari ini.
#JohorSafeZone
#CoronationSquare
#IbrahimInternationalBusinessDistrict
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



