“SAYA HIDUP MEMBESAR BERSAMA-SAMA RAKYAT” – DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Program Bual Santai Petang Bersama Orang Muda Johor yang menghimpunkan ribuan belia di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#Muar – Kehidupan rakyat biasa bukan sesuatu yang asing bagi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang sememangnya pernah hidup membesar dalam lingkungan persekitaran yang bukan sahaja sederhana dan tetapi juga amat dekat dengan ruang lingkup masyarakat Johor sejak kecil lagi.
DYAM Pemangku Sultan Johor bertitah, Baginda juga melalui kehidupan yang tidak jauh berbeza dengan kehidupan masyarakat biasa apabila membesar tanpa kawalan keselamatan yang ketat serta menjalani kehidupan harian bersama keluarga kakitangan istana, pekerja dan rakan-rakan di sekitar Johor Bahru.
Selain itu, DYAM Pemangku Sultan Johor juga bertitah Baginda juga dihantar ke sekolah oleh pengasuh dan kakitangan istana, malah pernah menaiki lori mekanik untuk ke sekolah ketika zaman masa kecil.
DYAM Pemangku Sultan Johor turut membesar bersama anak-anak kakitangan yang bertugas di istana termasuk pekerja kebun dan penjaga kuda di kawasan Istana Pasir Pelangi serta Kampung Melayu Majidee dan Kampung Pasir, sekali gus membentuk hubungan yang akrab dengan masyarakat sejak usia muda.
Pengalaman tersebut menjadikan DYAM Pemangku Sultan Johor amat dekat dengan kehidupan rakyat serta memahami sendiri suasana dan cabaran kehidupan yang dilalui oleh masyarakat Johor sejak dahulu hingga sekarang.
DYAM Pemangku Sultan Johor bertitah, di Kampung Melayu Majidee serta Kampung Pasir, Baginda juga sering meluangkan masa di rumah kakitangan istana dan tanpa sebarang rasa kekok untuk turut bermain bersama anak-anak mereka.
DYAM Pemangku Sultan Johor turut berkongsi bahawa kehidupan yang dilalui ketika kecil tidak mewah, malah kenderaan pertama yang digunakan selepas memperoleh lesen memandu ialah sebuah Perodua Kancil.
Ia ditambah dengan pengalaman Baginda ketika menuntut dan menjalani latihan ketenteraan di India, sekali gus mengajar Baginda mengenai cabaran kehidupan termasuk mengurus perbelanjaan sendiri serta menjalani kehidupan secara sederhana ketika berada di luar negara.
Kedekatan dengan masyarakat itu turut menjelaskan mengapa DYAM Pemangku Sultan Johor sentiasa selesa dalam mendekati rakyat dan tidak kekok berada di mana-mana sahaja sama ada warung, kawasan perumahan atau lokasi tumpuan orang ramai.
Titah DYAM Tunku Mahkota Ismail lagi, pengalaman membesar bersama rakyat membentuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap kehidupan masyarakat serta cabaran yang dihadapi oleh Bangsa Johor.
Terdahulu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat ke Program Bual Santai Petang Bersama Orang Muda Johor yang menghimpunkan ribuan belia di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Muar.
#TheTMJEffect
#OrangMudaJohor
#OMJ
#TMIYCMuar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



