DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL DINOBAT TOKOH KEPIMPINAN SUKAN ANUGERAH SAM-100PLUS 2025

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT dipilih menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS 2025.
#IskandarPuteri – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.
Pengiktirafan tersebut diberikan atas kepimpinan progresif serta visi luar biasa Tunku Ismail dalam memacu pembangunan sukan di Negeri Johor, selain turut berjaya mentransformasikan lanskap sukan Johor menerusi pendekatan moden, profesional dan bertaraf antarabangsa.
Bukan sahaja pencapaian tertinggi dalam bola sepak, Tunku Ismail berjaya membawa jenama JDT sebagai sebuah organisasi sukan moden dan bertaraf dunia menerusi pengurusan profesional, pemasaran strategik dan pembangunan infrastruktur moden.
Transformasi bola sepak moden merangkumi penubuhan akademi bola sepak dan pembangunan kemudahan bertaraf antarabangsa di Johor turut menjadi asas penting dalam melahirkan bakat muda secara sistematik dan kompetitif, selaras dengan hasrat Tunku Ismail untuk melihat negeri ini menjadi contoh dalam merealisasikan agenda Johor Sport Nation 2030.
Usaha Tunku Ismail juga tidak fokus hanya kepada sukan bola sepak apabila Baginda dilihat turut memberi tumpuan terhadap sukan lain di Negeri Johor seperti bola jaring, ragbi, badminton, sukan permotoran dan merangkumi pembinaan infrastruktur bertaraf dunia seperti Stadium Sultan Ibrahim, Khabib Gym dan Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC).
Selain itu, pelantikan barisan bintang sukan dunia dan tanah air sebagai Ikon Sukan Johor, terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei selaku duta sukan badminton, bekas bintang ragbi New Zealand Sonny Bill Williams dan bekas juara UFC Khabib Nurmagomedov telah menjadikan Johor sebagai contoh terbaik ekosistem sukan moden di Malaysia.
Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 bakal diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 13 Mei 2026 dan akan disempurnakan oleh YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.
#JohorSafeZone
#TokohKepimpinan
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



