MAHASISWA, PELAJAR JOHOR KINI LEGA DENGAN ADANYA PROGRAM INFAQ JUMAAT

Program Infaq Jumaat Johor cetusan ilham DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan Bangsa Johor menerusi penyediaan makanan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, sekali gus membantu golongan memerlukan serta meringankan beban kos sara hidup yang turut dirasai Orang Muda Johor khususnya mahasiswa IPT. | Foto arkib MDJ
#IskandarPuteri – Kebajikan Bangsa Johor sentiasa menjadi keutamaan apabila pelaksanaan Program Infaq Jumaat Johor hasil cetusan ilham DYAM Pemangku Sultan Johor terutama dalam penyediaan makanan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan bukan Islam.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja dapat membantu golongan memerlukan, malah turut memberi kelegaan kepada Orang Muda Johor khususnya mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut berdepan peningkatan kos sara hidup, mutakhir ini.
Bagi Daniel Arizan Abdul Halim, 19, pelajar Program Al-Wasit di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), memberitahu Program Infaq Jumaat Johor amat melegakannya dan juga rakan mahasiswa lain kerana berpeluang mendapatkan makanan serta minuman secara percuma ketika hadir menunaikan solat Jumaat.
Menurutnya, inisiatif seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar universiti dari sudut penjimatan kos, malah turut membantu golongan pekerja dan masyarakat umum, khususnya golongan berpendapatan rendah yang hadir ke masjid, sekali gus menjadikan institusi masjid kini menjadi lebih dekat dengan golongan muda.
Sementara itu, seorang lagi pelajar UTHM yang berasal dari Selangor, Muhammad Daniel Mohd Kamsatul Aidi, 22, berkata program tersebut bukan sahaja membantu mahasiswa Johor, malah turut memberi manfaat kepada pelajar dari negeri lain yang melanjutkan pengajian di beberapa IPT di negeri ini.
Pelajar Kejuruteraan Awam dan Alam Bina itu memberitahu, kebiasaannya beliau akan membelanjakan wang saku sekitar RM15 sehari bagi keperluan makanan. Namun, pelaksanaan Program Infaq Jumaat Johor ini telah membolehkan golongan mahasiswa dapat menikmati makanan percuma, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan harian.
Menerusi Program Infaq Jumaat Johor, Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, telah memperuntukkan sebanyak RM26.9 juta melibatkan 538 pelaksanaan seminggu bagi tahun ini, meningkat berbanding RM1.716 juta pada tahun lalu yang melibatkan 132 pelaksanaan seminggu.
#JohorSafeZone
#ProgramInfaqJumaatJohor
#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



