JOHOR JEWELS SELANGKAH UNTUK MERAMPAS KEJUARAAN

Johor Jewels semakin hampir merampas kembali kejuaraan Netball Super League (NSL) selepas layak ke final dengan aksi penentuan juara dijadual berlangsung Ahad ini jam 8 malam. | Foto: Johor Jewels

 

#IskandarPuteri – Skuad bola jaring Johor Jewels semakin menghampiri sasaran untuk merampas kembali kejuaraan Netball Super League (NSL) selepas layak ke perlawanan akhir.

 

Skuad kendalian Jane Searle berjaya ke perlawanan akhir selepas menewaskan KL Wildcats 65-48 pada aksi separuh akhir untuk bertemu Terengganu Marvels yang menamatkan cabaran Kedah Sunshine dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara.

 

Walaupun menerima tamparan menjelang perlawanan akhir selepas kehilangan khidmat pemain pertahanan, Noramirah Dayana, namun Jewels tetap memperagakan aksi dominan sepanjang perlawanan.

 

Gandingan Puteri Intan Balqis dan Gretel Bueta sekali lagi menjadi duri dalam daging buat KL Wildcats pada dua suku pertama sebelum An Najwa dan Haisya Maisarah menambah mata demi mata buat Jewels.

 

Haisya yang ditemui selepas perlawanan mengakui ianya bukan satu aksi yang mudah namun gembira kerana berjaya membantu Jewels kembali ke perlawanan akhir.

 

“Kami bangga dengan persembahan kami sebagai satu pasukan dan sudah bersedia untuk ‘reclaim the crown’. Kami akan melanggar Marvels di finals dan ini adalah perlawanan yang sangat penting buat kami”, jelasnya bangga.

 

Laura Langman, bekas juara dunia dipilih menjadi ‘Queen of The Court’ selepas mempamerkan aksi luar biasa di tengah gelanggang dalam membantu kemenangan selesa Jewels.

 

Aksi penentuan juara bakal berlangsung jam 8 malam pada Ahad dengan satu perlawanan menarik dijangka antara kedua-dua pasukan terbaik NSL musim ini.

 

#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#ReclaimTheCrown
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor