EXCO KERAJAAN JOHOR BAHARU KOMITED JAYAKAN AGENDA MAJU JOHOR 2030

Empat muka baharu EXCO Johor komited menggalas amanah menerusi pelaksanaan agenda pembangunan mengikut portfolio masing-masing selaras dengan Agenda Maju Johor 2030. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Empat muka baharu dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Johor komited menggalas amanah dan tanggungjawab menerusi pelaksanaan agenda pembangunan mengikut portfolio masing-masing, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menjayakan Agenda Maju Johor 2030.

 

Mereka akan memberi tumpuan kepada usaha meneliti perancangan sedia ada, memperkukuh dasar yang sedang dilaksanakan serta merangka pendekatan baharu bagi memastikan setiap agenda pembangunan memberi manfaat kepada Bangsa Johor.

 

YB Puan Hasrunizah Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor akan menumpukan usaha memperkasakan golongan wanita, khususnya ibu tunggal dan suri rumah, selain memperkemas data kumpulan sasar bagi memastikan bantuan serta inisiatif dapat disalurkan dengan lebih tersusun dan berkesan.

 

YB Tuan Md Israk Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor pula akan meneliti dasar serta perancangan sedia ada sebelum merangka hala tuju baharu, termasuk meneroka teknologi dan pendekatan pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti sektor berkenaan.

 

YB Tuan Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor bersedia meneruskan usaha memperkasa sektor pendidikan, termasuk menerusi Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) di samping memperkukuh kerjasama dengan semua pihak bagi membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih menyeluruh.

 

Sementara itu, YB Tuan P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor mahu memperkukuh semangat perpaduan menerusi penghayatan konsep Bangsa Johor serta menyatukan seluruh lapisan masyarakat di bawah satu matlamat bersama.

 

Pelantikan barisan baharu EXCO Kerajaan Johor ini mencerminkan iltizam untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan, memperkasa pembangunan dan memastikan setiap agenda yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan demi kemajuan serta kesejahteraan Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#EXCOKerajaanJohor
#MukaBaharu
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor