INTERVENSI SEGERA PERKUKUH ALIRAN TRAFIK DI TAMAN PULAI JAYA

Kerajaan Johor akan mempergiat intervensi segera bagi mengatasi kesesakan di laluan FT005 Pontian–Skudai, khususnya di Taman Pulai Jaya. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor akan terus mempergiat tindakan intervensi bersepadu secara pantas bagi menangani isu kesesakan kritikal di laluan FT005 Pontian–Skudai khususnya melibatkan kawasan Taman Pulai Jaya yang menjadi antara titik tumpuan trafik utama di kawasan berkenaan.
Intervensi segera ini dilaksanakan melalui penugasan anggota polis trafik pada waktu puncak bagi kawalan manual di persimpangan kritikal serta menaik taraf enam set lampu isyarat kepada sistem pintar yang responsif terhadap kepadatan situasi semasa.
Selain itu, pembinaan laluan pintasan kenderaan ringan di Taman Pulai Emas turut dilaksanakan bagi mengagihkan semula aliran trafik, manakala kerja penyelenggaraan jalan juga akan dipercepatkan daripada 10 hari kepada lima hari bagi mengurangkan tempoh gangguan kepada pengguna.
Kesesakan yang berlaku di kawasan itu dikenal pasti berpunca daripada beberapa faktor serentak termasuk kerja penyelenggaraan jalan yang sedang dilaksanakan, gangguan fungsi lampu isyarat di simpang utama serta peningkatan mendadak jumlah kenderaan, susulan pembangunan pesat dan akses terus ke rangkaian lebuh raya berhampiran.
Langkah bersepadu ini diselaraskan melibatkan pelbagai agensi bagi memastikan setiap intervensi yang dilaksanakan akan dilakukan secara menyeluruh dan berupaya memberi impak tinggi dalam tempoh sesegera mungkin.
Terdahulu, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor mengadakan tinjauan di susur keluar Taman Pulai Jaya, Skudai, baru-baru ini.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Johor dalam memastikan isu kesesakan yang berlaku ini dapat ditangani secara proaktif demi keselesaan serta kesejahteraan Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#JalanRaya
#TamanPulaiJaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


