PERSIDANGAN TERTIB DEWAN NEGERI JOHOR CERMINKAN KEMATANGAN DEMOKRASI

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bertitah Dewan Negeri Johor merupakan sebuah dewan mulia dan menjadi wadah penting dalam merangka dasar serta menyuarakan kepentingan rakyat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Perjalanan Persidangan Dewan Negeri Johor yang berlangsung dengan penuh tertib, teratur dan hormat mencerminkan kematangan demokrasi serta budaya politik yang semakin berkembang di negeri ini.
Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bertitah Dewan Negeri Johor merupakan sebuah dewan mulia dan menjadi wadah penting dalam merangka dasar serta menyuarakan kepentingan rakyat.
Dewan Negeri Johor juga berperanan sebagai platform untuk mencari penyelesaian terhadap isu rakyat secara menyeluruh dan berkesan, dengan setiap tindakan kepimpinan negeri sentiasa diperhati serta dinilai oleh rakyat.
Baginda Pemangku Sultan bertitah agar segala usaha baik ini diteruskan dan setiap kelemahan diperbaiki demi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh Bangsa Johor, di samping mengingatkan supaya setiap amanah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab tanpa mengabaikan kepercayaan rakyat.
Tunku Mahkota Ismail turut menzahirkan harapan agar Johor terus maju membangun dalam keadaan aman dan makmur serta sentiasa dilindungi daripada segala bala bencana, di samping mahu Bangsa Johor hidup dalam suasana harmoni, bersatu padu dan bahagia demi memastikan kestabilan serta kemakmuran negeri terus terpelihara.
Terdahulu, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail berangkat menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Khamis.
#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



