JAINJ, PDRM SIASAT PENULARAN VIDEO AJARAN SESAT SI HULK


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan berhubung video menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW oleh sekumpulan individu dipercayai penganut ajaran sesat Si Hulk.

 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pihaknya telah mendapat laporan berhubung video ajaran Suhaini Mohammad atau Si Hulk yang tular di aplikasi TikTok.

 

“Kita juga sudah mendapat kerjasama daripada bahagian penguatkuasaan (JAINJ) dan juga PDRM untuk siasat. Pertamanya, takut ia video lama.

 

“Tapi bila mana sudah makin tular, kita risau ia adalah video baru dan ini memperlihatkan kewujudan pengikut yang setia kepada ajaran ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

 

Mohd Fared berkata, ajaran Si Hulk itu telah diisytiharkan sebagai sesat melalui keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan pada Julai 2021, dan rakyat negeri ini mesti menjauhi sekali gus tidak terikut dengan ajaran terbabit.

 

“Ia mesti digambarkan sebagai satu amaran yang keras sebab ia bukan sahaja telah difatwakan, bahkan dititahkan selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia, bahkan fatwa ini telah pun berumur lebih kurang 2 tahun yang lalu.

 

“Bermaksud semua pihak sepatutnya mengambil berat tentang kandungan fatwa larangan ini. Sesiapa juga yang melanggar fatwa dan juga larangan ini, seperti mana yang saya telah disebut ia adalah bersalahan dengan Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (1997) Negeri Johor yang boleh didenda dan juga dipenjarakan,” katanya.

 

Dengan kerjasama PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), beliau percaya pemilik video terbabit akan dapat ditemukan.

 

“Saya kira kita bukan sahaja berniatkan untuk mereka ini dikenakan pendakwaan secara mahkamah, tapi saya secara peribadi dan juga sudah pasti semua orang, kita mahu memberi nasihat dan juga menyedarkan mereka bahawa apa yang sedang mereka ikuti ini adalah tidak benar dan salah,” katanya lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor