‘RECLAIM THE CROWN’ ADALAH SEMANGAT BUKAN TEKANAN – AYU IZARIN

Pemain Johor Jewels, Nurul Ayu Izarin Zamri menyifatkan laungan ‘Reclaim The Crown’ sebagai motivasi buat pasukan yang berjaya mara ke final NSL 2026 selepas menewaskan KL Wildcats 64-48 di separuh akhir. | Foto: Johor Jewels

 

#IskandarPuteri – Bermula dari pemain ‘sparring’ sebelum dipanggil ke skuad utama, Nurul Ayu Izarin Zamri, pemain Johor Jewels membuktikan laungan ‘Reclaim The Crown’ yang digunakan pasukan adalah sebuah motivasi dan bukannya tekanan buat beliau serta rakan sepasukan.

 

Pemain yang mesra disapa Ayu itu dipanggil menggantikan ketiadaan Noramirah Dayana akibat kecederaan dan jelas aksinya tidak menghampakan apabila membantu Johor Jewels layak ke perlawanan akhir Netball Super League (NSL) 2026.

 

Terus beraksi di peringkat separuh akhir nyata tidak memberikan tekanan buat dirinya yang sememangnya bersedia untuk bermain, sekali gus membuktikan kualiti ‘squad depth’ pada pasukan kendalian Jane Searle itu.

 

“Saya sememangnya semangat apabila diberikan peluang dan mahu berikan yang terbaik atas kesempatan ini. Apabila mengetahui yang saya perlu menggantikan Nora, saya bersedia sepenuhnya dan kini sedia membawa kejuaraan buat Johor Jewels.

 

“Slogan ‘Reclaim The Crown’ itu merupakan semangat buat kami kerana memang kami mahukan piala itu semula dan semua pemain bersedia lakukan yang terbaik pada aksi akhir nanti,” ujar Ayu.

 

Beliau tidak beraksi ketika Jewels tewas kepada Terengganu Marvels pada peringkat round robin mahu memberikan segala-galanya bagi memastikan dendam terbalas sekali gus bergelar juara sekali lagi.

 

“Memang saya tidak bermain tempoh hari tetapi kami sudah mengenal pasti taktikal yang dirancang dan kami akan lakukan yang terbaik,” jelasnya.

 

Johor Jewels layak ke perlawanan akhir NSL 2026 selepas menewaskan KL Wildcats 64-48 di peringkat separuh akhir untuk bertemu Terengganu Marvels di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

 

#JohorSafeZone
#JohorJewels
#NSL2026
#ReclaimTheCrown
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor