JOHOR MUNCUL JUARA BOLING PADANG


Pasukan Johor cemerlang mendominasi acara boling padang apabila muncul juara keseluruhan Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1 Tahun 2023 di Arena Lawns Bowls, Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. | FOTO IHSAN, Majlis Sukan Negara Johor

 

ISKANDAR PUTERI — Pasukan Johor cemerlang mendominasi acara boling padang apabila muncul juara keseluruhan Karnival Bakat Kebangsaan Siri 1 Tahun 2023 di Arena Lawns Bowls, Kompleks Sukan Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

 

Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini memberitahu, pasukan Johor menamatkan pelawanan dengan merangkul satu emas, satu perak dan satu gangsa dari empat acara yang dipertandingkan.

 

Pingat emas kontinjen Johor diperolehi menerusi acara Triples Lelaki, manakala perak bagi acara Fours Lelaki dan gangsa disumbangkan menerusi acara Fours Wanita.

 

Acara Triples Lelaki yang dibarisi Muhammad Rusydi Rabbani, Muhammad Izraf Haszely dan Aide Hamsyar Mohd Hairi menang mudah apabila menewaskan pasukan Terengganu di pentas akhir dengan catatan 15-8.

 

Kuartet Muhammad Shyarizal Mahmud Zudi, Muhammad Afiq Danial Suhaimi, Muhammad Syarifuddin Mohd Farhan dan Nor Muhammad Hadi Azmee berjaya meraih pingat perak acara Fours Lelaki selepas kalah tipis catatan 7-8 dengan pasukan Terengganu.

 

Cabaran kontinjen Johor menerusi acara Fours Wanita yang dikemudi Nur Airis Safiyah Abdullah, Rohadatul Aisyah Taufik, Nik Nur Nadirah Nik Mohd Sharudi dan Jahrana Syahmina Aina Jamrul Azhar berjaya meraih pingat gangsa apabila menundukkan Perak dengan catatan 11-8.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor